Penjenayah licik di media sosial

Ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya terdedah kepada bahaya kegiatan penjenayah siber. Foto hiasan
Ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya terdedah kepada bahaya kegiatan penjenayah siber. Foto hiasan
A
A
A

PADA zaman serba moden ini, media sosial telah menjadi platform utama untuk berinteraksi, berkongsi informasi dan menjalankan aktiviti perniagaan.

Bagaimanapun, di sebalik kelebihan yang ditawarkan media sosial juga telah menjadi sarang pelbagai aktiviti jenayah.

Penjenayah semakin canggih dalam menggunakan platform ini untuk melakukan perbuatan jenayah termasuk penipuan dalam talian hingga kepada aktiviti pengubahan wang haram.

Penggunaan media sosial di negara ini semakin berkembang, namun ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya terdedah kepada bahaya kegiatan penjenayah siber.

Golongan penjenayah ini bukan sahaja mempunyai kepakaran teknologi, malah penganalisis jenayah mendedahkan terdapat platform membolehkan mereka berkongsi maklumat dan pergerakan untuk melakukan kegiatan haram dengan identiti dan lokasinya tidak dapat dikesan secara langsung.

Antara jenayah banyak berlaku di media sosial seperti penipuan dalam talian, pelaburan, peras ugut siber, penyebaran berita palsu dan fitnah dan aktiviti jenayah organisasi.

Media sosial digunakan juga oleh kumpulan jenayah terancang untuk merekrut anggota baru, merancang serangan,atau menyelaras aktiviti haram.

Dengan teknologi yang semakin canggih, komunikasi antara individu dalam organisasi jenayah menjadi lebih sulit dikesan dan ditangani oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Antara sebab ia sukar ditangani pihak berkuasa kerana media sosial berbentuk anonimitas dan kerahsiaannya, jangkauan yang luas, kemudahan untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat.

Justeru, sebagai langkah untuk mengurangkan jenayah berkenaan, kerajaan dan platform media sosial perlu bekerjasama untuk memperkenalkan peraturan yang lebih ketat bagi menangani jenayah siber.

Ini termasuk memperkenalkan sistem pengesahan identiti yang lebih baik, dan alat untuk mengesan dan memadam akaun palsu atau mencurigakan.

Selain itu, pihak berkuasa harus meningkatkan pemantauan untuk mengesan dan menyiasat aktiviti jenayah dalam talian.

Platform media sosial itu sendiri perlu melabur dalam teknologi keselamatan yang lebih canggih seperti pengesanan penipuan automatik dan algoritma untuk mengesan akaun yang mencurigakan.

Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dapat membantu mengenal pasti pola tingkah laku penjenayah dan mencegah tindakan jenayah daripada berlaku.

Jenayah di media sosial sering melibatkan pelaku dari pelbagai negara menjadikannya isu global.

Oleh itu, kerjasama antara negara-negara dan agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa adalah penting dalam usaha untuk menangani jenayah siber dengan berkesan.

Pengguna media sosial turut harus dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda penipuan dalam talian dan berhati-hati dengan maklumat yang mereka kongsi secara terbuka.

Kesedaran pengguna serta teknologi yang lebih canggih merupakan kunci dalam membanteras ancaman jenayah siber ini di masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!