Beli baju Melayu, dapat kemeja T
KUALA PILAH - Buat pesanan untuk baju Melayu, tetapi yang sampai ialah kemeja T jenama ‘Pagoda’.
Itu antara pengalaman seorang ibu ditipu penjual yang menggunakan media sosial sehingga menyebabkan dia kerugian kira-kira RM150.
Kisah bermula apabila wanita yang mahu dikenali sebagai Yana, 40, membuat pembelian di salah satu aplikasi dalam talian di media sosial pada tahun lalu sempena Aidilfitri.
“Saya memang selalu membeli barangan menggunakan aplikasi dalam talian sebab lebih mudah dan harganya lebih murah daripada di kedai.
“Tahun lepas kami sekeluarga bercadang memakai pakaian raya warna sedondon iaitu merah hati,” katanya.
Yana yang mempunyai tiga anak termasuk seorang lelaki berkata, dia melihat ada penjual di media sosial menawarkan dua pasang baju Melayu lengkap samping berharga RM150 tidak termasuk caj penghantaran.
“Tetapi apabila bungkusan sampai ke rumah, saya hanya dapat sehelai kemeja T ‘Pagoda’ yang harga di kedai dalam belasan ringgit sahaja,” katanya kepada Sinar Ahad.
Yana berkata, pada mulanya dia sangka penjual tersalah bungkus kerana ramai pembeli.
“Tetapi apabila saya maklumkan kepada penjual, tiada maklum balas. Ketika itu barulah saya sedar saya kena scam,” katanya.
Tambah Yana, walaupun jumlahnya bagi sesetengah orang tidaklah seberapa, namun baginya RM150 sudah cukup besar nilainya baginya yang berpendapatan sederhana.
Disebabkan itu juga, katanya, dia terpaksa mengeluarkan kos untuk membeli baju Melayu lain untuk anaknya itu.
“Selepas kejadian itu, saya lebih berhati-hati terutama apabila penjual menawarkan harga jauh lebih murah daripada harga asal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!