'Kami perlu lebih konsisten 90 minit' - Hurzeler
BRIGHTON & Hove Albion melonjak ke kedudukan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas diikat kelab corot Southampton, 1-1 di Stadium Komuniti Amex.
Namun pengendali The Seagulls, Fabian Hurzeler mengakui kecewa prestasi dipamerkan kelab tersebut di sebalik pencapaian itu.
“Kekecewaan hasil keputusan dalam perlawanan ini merupakan sebahagian daripada bola sepak. Pengalaman negatif juga sebahagian daripada proses dan kami tidak layak mendapat lebih hari ini.
“Sebaliknya, kami perlu terus meningkatkan, cuba menjadi lebih baik perlawanan seterusnya. Kami perlu lebih konsisten sepanjang 90 minit,” kata pengendali berusia 31 itu yang mengambil alih Seagulls pada Julai.
Gol Kaoru Mitoma (m-29) dimatikan gol penyamaan Flynn Downes (m-59), ketika percubaan kontroversi pemain The Saints, Cameron Archer (m-72) dinafikan kerana ofsaid menyelamatkan Seagulls.
Jelas Hurzeler, pemain-pemainnya seharusnya tampil lebih tajam dengan memanfaatkan peluang khasnya pada separuh masa pertama.
“Kami mempunyai peluang yang cukup untuk memenangi perlawanan sebaliknya kami tidak mengambilnya.
"Kemudian kami tidak cukup jelas, tidak cukup konsisten untuk mempertahankan atau melepaskan gol,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!