Penguatkuasaan papan tanda tidak dipengaruhi mana-mana pihak - Dr Zaliha

Laporan Sinar Harian isu pematuhan papan tanda di ibu kota.
Laporan Sinar Harian isu pematuhan papan tanda di ibu kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan terhadap pematuhan papan tanda merupakan tugasan rutin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, tindakan penguatkuasaan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau individu sebaliknya dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang ditetapkan yang harus dipatuhi.

Menurutnya, Malaysia mengamalkan prinsip 'rule of law' iaitu undang-undang dan peraturan yang dikuat kuasa adalah untuk memastikan keadilan serta keharmonian dalam masyarakat terjamin.

"DBKL melalui Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976, menetapkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan pada papan tanda premis.

"Huruf-huruf dan perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain.

"Kesemua papan tanda tersebut juga perlu mendapatkan pengesahan visual dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebagai dokumen wajib untuk memohon kelulusan DBKL," katanya menerusi kenyataan.

Katanya, penguatkuasaan dijalankan itu adalah di dalam pengetahuannya selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

Tambah beliau, penguatkuasaan itu konsisten dengan pendekatan yang telah diambil sejak isu Jalan Silang sebagai Mini Dhaka berbangkit lagi.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tahun 2024, sebanyak 13 siri operasi, 264 notis telah dikeluarkan dan 36 premis telah diambil tindakan berhubung isu papan tanda premis ini.

"Antara kesalahan yang dikenakan tindakan adalah penggunaan papan tanda yang tidak mendapat permit dari DBKL atau papan tanda yang dipaparkan tidak mengikut kelulusan permit diberikan.

"Notis juga telah diberikan dalam tempoh yang munasabah kepada pemilik premis untuk mengambil tindakan sebelum penguatkuasaan dibuat," katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk ahli politik untuk menghentikan polemik penguatkuasaan papan tanda di ibu kota.

"Kita mempunyai banyak agenda penting untuk diberi perhatian, bermain dengan sentimen perkauman seperti ini hanya akan mewujudkan polarisasi yang memecahbelahkan rakyat sahaja.

"Menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, kita perlu bersama-sama mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai imej negara Kuala Lumpur, sebagai pintu masuk utama negara seharusnya mencerminkan identiti nasional yang menonjolkan bahasa kebangsaan kita dengan jelas dan bangga, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!