Tanah runtuh: MAIDAM salur bantuan kepada keluarga mangsa
HULU TERENGGANU - Keluarga dua beradik yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Mangsa yang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan tanah tersebut dikenali sebagai Puteri Sajidah Azman,16, dan Siti Fatimah Azman,13.
Penyerahan sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika menziarahi keluarga mangsa pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
Bantuan berjumlah RM6,000 itu disampaikan kepada ibu mangsa tragedi tanah runtuh, Ruziah Fuad, 46.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tiga mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Kampung Bukit Apit di sini kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.
Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.
Mayat Puteri Sajidah ditemui jam 6.32 petang dan adiknya, Siti Fatimah pula ditemui jam 6.59 petang, dalam keadaan tertimbus di bawah runtuhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!