'Buku, baju semua tenggelam banjir' - Calon SPM

Nur Alyaa Maisara (dua,kiri) bersama calon-calon SPM lain akan dipindahkan ke Pasir Mas bagi menduduki ujian lisan Bahasa Melayu dan Inggeris pada Isnin.
Nur Alyaa Maisara (dua,kiri) bersama calon-calon SPM lain akan dipindahkan ke Pasir Mas bagi menduduki ujian lisan Bahasa Melayu dan Inggeris pada Isnin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Banjir yang disifatkan luar biasa kali ini menyebabkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan situasi luar jangka dengan buku, baju sekolah, kelengkapan peperiksaan ditenggelami air.

Nur Alyaa Maisara, Natasha Aziz dan Nur Amalin Aisyah Norzailani,17, antara 189 calon SPM yang dipindahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Op Murni ke Pasir Mas untuk menumpang di tiga buah sekolah iaitu SKM Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2 bagi membolehkan mereka menduduki ujian lisan Bahasa Melayu bermula Isnin hingga Khamis ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Nur Alyaa Maisara berkata, semua kelengkapan sekolah itu telah diletakkan di tempat tinggi namun ia tetap ditenggelami banjir.

"Kami tidak menyangka banjir yang melanda kali ini sangat teruk. Habis semua rosak, saya kini dilema sama ada mahu menduduki SPM atau sebaliknya.

Kesemua 189 calon SPM dipindahkan oleh ATM melalui Op Murni ke Pasir Mas untuk menumpang di tiga buah sekolah iaitu SKM Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2.
Kesemua 189 calon SPM dipindahkan oleh ATM melalui Op Murni ke Pasir Mas untuk menumpang di tiga buah sekolah iaitu SKM Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2.

"Semuanya jadi rumit bila bekalan elektrik tiada, rumah pula tenggelam air," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini pada Ahad.

Sementara itu, Natasha Aziz, 17, pula berkata, ada diantara rakan-rakan mereka yang gagal dihubungi selepas terputus hubungan sejak Khamis lalu apabila bekalan elektrik di kawasan Rantau Panjang telah ditutup.

Ujarnya, perasaan menjadi lebih sedih apabila banjir yang melanda kali ini diluar jangkaan.

Artikel Berkaitan:

"Bukan kami tidak biasa dengan banjir, ia berlaku setiap tahun. Namun kali ini air naik cepat sehingga baju, buku sekolah sudah disimpan di tempat tinggi tetapi tetap ditenggelami.

"Saya sendiri terpaksa ulangkaji bertemankan cahaya lilin. Kami sepatutnya belajar secara dalam talian tetapi elektrik tiada, telefon tidak dapat dicas. Ulangkaji apa yang mampu sahaja," katanya.

Sementara itu, Nur Amalin Aisyah memberitahu, sepanjang rumah ditenggelami banjir dia tidak menang tangan membantu keluarga mengemas kerana air banjir naik terlalu cepat.

Katanya, dia reda dan hanya mampu berdoa agar dipermudahakan segala urusan sepanjang peperiksaan SPM ini.

"Sudahlah banjir, perlu berpindah menumpang di asrama sekolah lain, kelengkapan peperiksaan pun sudah tenggelam air.

"Sedihlah kerana kami tidak sangka banjir besar ketika SPM. Namun semua ini tidak akan mematah semangat untuk mengejar keputusan cemerlang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!