Banjir: Sultan Pahang titah masjid, surau adakan solat hajat

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua masjid dan surau di Negeri Pahang mengadakan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Baginda secara khususnya bertitah agar solat hajat dapat dilakukan di setiap masjid dan surau selepas solat Jumaat dan selepas solat Maghrib setiap hari.

"Solat hajat ini diadakan bagi mendoakan agar dihindarkan banjir dan bala bencana.

"Semoga Allah SWT mengangkat semua musibah dan sesiapa yang diuji dengan banjir, diberikan keselamatan dan kesabaran," titah baginda melalui kenyataan pada Ahad.

Al-Sultan Abdullah turut berdoa agar semua yang terlibat dengan banjir besar seperti di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda.

"Doa sama turut dipanjatkan kepada Allah SWT agar negeri Pahang turut dilindungi dari sebarang bencana dan berada dalam keadaan selamat sejahtera," titah baginda.

Justeru itu, baginda meminta agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati pada musim banjir ini dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga masing-masing.

"Hindari kawasan berisiko seperti sungai dan laut bagi mengelak sebarang tragedi.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bapa dan penjaga juga diingatkan agar sentiasa memantau dan menasihatkan anak-anak supaya tidak bermain di tepi sungai atau longkang berhampiran kerana berisiko berlakunya perkara yang tidak diingini," titah baginda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!