Jumlah mangsa banjir melebihi 150,000 orang di sembilan negeri

Penduduk kampung mengunakan perahu sebagai alat pengangkutan untuk melakukan aktiviti harian selepas kebanyakan kawasan dinaiki air ekoran banjir yang melanda. Foto Bernama
Penduduk kampung mengunakan perahu sebagai alat pengangkutan untuk melakukan aktiviti harian selepas kebanyakan kawasan dinaiki air ekoran banjir yang melanda. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 150,782 orang setakat pukul 9 pagi ini.

Jumlah tersebut membabitkan 45,195 keluarga yang kini ditempatkan di 699 PPS di sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Melaka dan Selangor.

Kelantan terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 30,049 orang namun situasi bencana itu di tiga negeri membabitkan Negeri Sembilan dan Selangor mencatat penurunan mangsa.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 284 PPS telah mencecah 97,204 orang daripada 30,047 keluarga, berbanding 91,279 pada petang Sabtu.

Berdasarkan maklumat portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi melibatkan 29,707 orang, diikuti Tumpat (17,713), Kota Bharu (14,247), Pasir Puteh (9,884) dan Kuala Krai (6,625).


Sementara itu di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 41,795 orang, berbanding 39,954 pada spetang Sabtu.

Besut muncul daerah paling terjejas dengan 15,636 mangsa banjir (4,208 keluarga) ditempatkan di 122 PPS.

Hulu Terengganu pula merekodkan seramai 7,657 mangsa banjir di 60 PPS; Setiu (6,513 orang, 50 PPS); Dungun (5,759 orang, 39 PPS); Kuala Terengganu (2,153 orang, sembilan PPS); Kemaman (1,246 orang, 11 PPS); Kuala Nerus (2,023 mangsa, 12 PPS); dan Marang (770 orang, lapan PPS).

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir di Kedah juga naik dengan mendadak apabila seramai 8,077 orang daripada 2,584 keluarga di tujuh daerah ditempatkan di 54 PPS manakala di Negeri Sembilan pula, 15 PPS di tiga daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 1,917 mangsa daripada 533 keluarga.

Keadaan banjir di Johor merekodkan 611 mangsa membabitkan 179 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS di dua daerah manakala di Pahang sebanyak 519 mangsa daripada 165 keluarga ditempatkan di 16 PPS.

Sementara itu, banjir di Perlis ada menunjukkan pengurangan dengan 363 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka di dua daerah, begitu juga di Selangor dengan bilangan mangsa 114 orang daripada 36 keluarga di satu PPS.

Di Melaka keadaan banjir tidak berubah dengan lima PPS diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada 313 mangsa daripada 76 keluarga di tiga daerah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!