[VIDEO] Dua hari redah arus deras guna bot bawa anak calon SPM keluar
RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu sanggup meredah arus deras menggunakan bot untuk membawa anak sulungnya yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keluar dari kampung mereka di Gual Machang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini bagi memastikan anaknya menduduki ujian lisan pada Isnin.
Nor Azira Abdul Halim, 38, berkata, sudah dua hari dia dan anaknya, Nur Ariana Mohd Rozizi,17, berusaha untuk keluar dari kampung namun gagal disebabkan arus terlalu deras.
"Pagi ini saya nekad minta bantuan orang ramai, Alhamdulillah ada yang sudi membantu.
"Akhirnya anak saya bersama empat lagi calon SPM berjaya sampai di SK Gual Tinggi walaupun terpaksa meredah arus deras. Saya pun ikut bersama bagi memastikan anak selamat sampai," katanya kepada pemberita.
Menurut dia, banjir kali ini disifatkan luar jangka dan paling teruk kerana mereka sekeluarga sudah lima hari terkandas.
Sementara itu Nur Ariana yang merupakan anak sulung daripada empat beradik memberitahu, dia hampir berputus asa dan tidak menyangka dapat sampai ke SK Gual Tinggi.
"Saya ingatkan sudah tidak berjaya ke sini. Alhamdulillah ALLAH permudahkan urusan saya.
"Berkenaan dengan persiapan, saya cuba jawab setakat mampu kerana keadaan sekarang membuatkan kami rasa tertekan," katanya.
Bagi Yah Ibrahim, 58, pula dia sanggup mengemudi perahu dari Kampung Kubang Rambutan ke sini bagi memastikan anak bongsunya, Siti Rokiah Halim dapat menduduki peperiksaan SPM.
"Sebagai ibu bimbang itu sentiasa ada, melihat keadaan banjir buruk yang berlaku sehingga menyukarkan pergerakan serta Siti Rokiah terpaksa belajar dalam gelap kerana elektrik tiada.
"Namun saya sentiasa berpesan kepada anak, ujian ini akan mendewasakan dia. Banyakkan berdoa," katanya.
Seorang ibu, Nik Hasmah Nik Hassan, 52, pula sanggup mengayuh basikal ke SK Gual Tinggi untuk berjumpa anaknya sebelum Nur Alya Zulkarnain bertolak ke Pasir Mas.
Katanya, Nur Alya tinggal di asrama SMK Rantau Panjang, walaupun banjir dia tetap berusaha untuk datang berjumpa anak bongsunya itu.
"Saya hanya mampu berdoa semoga anak serta rakan-rakannya dipermudahkan sepanjang menjawab ujian lisan SPM esok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!