Kerani kedai emas berputih mata wang pelaburan RM2.65 juta lesap
JOHOR BAHRU - Seorang kerani kedai emas kerugian RM2.65 juta apabila terpedaya skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, wanita tempatan berusia 49 tahun itu pada mulanya membuat pelaburan sebanyak RM100,000 selepas tertarik dengan pulangan lumayan dijanjikan.
"Pada akhir Ogos lalu, mangsa melihat iklan pelaburan di laman sosial dan menekan pautan pada iklan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"Mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh beberapa individu yang telah memberi penerangan atas pelaburan yang dianjurkan dengan pulangan sehingga sembilan peratus dari jumlah pelaburan.
"Pada pertengahan Oktober lalu, mangsa telah membuat pelaburan awal sebagai percubaan berjumlah RM100,000 dan menerima keuntungan berjumlah RM12,100," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Kumar berkata, pulangan yang diterima menyebabkan mangsa merasa yakin pelaburan itu betul dan boleh menjana keuntungan.
Jelasnya, mangsa kemudian berhasrat untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak dan antara Oktober hingga akhir bulan lalu.
"Mangsa telah mengikut arahan suspek dengan memasukkan wang berjumlah RM2,656,600 dari akaun bank miliknya sendiri dan milik pasangan ke beberapa akaun bank yang berlainan.
"Bagaimanapun,mangsa tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan itu, sebaliknya mangsa diarahkan membuat pelbagai bayaran lain sebelum wang keuntungan dibayar dan wang pokok dikembalikan
"Arahan itu membuatkan mangsa syak dia ditipu dan seterusnya membuat laporan polis di Batu Pahat, Johor," katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, Kumar menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang dilihat di media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan keuntungan mudah pada kadar yang tinggi.
"Orang ramai disaran untuk membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut berkenaan pelaburan yang ditawarkan.
"Orang ramai juga dikehendaki lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri dari menjadi diri dari menjadi mangsa penipuan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!