Mara ke suku akhir Piala Malaysia kejayaan penting JDT - Bidoglio
PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyifatkan kejayaan mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2024 sebagai satu kejayaan yang penting buat skuad Harimau Selatan itu.
Malah menurut Bidoglio, (selaku juara bertahan), saingan Piala Malaysia dilihat sebagai antara saingan yang penting buat skuad Harimau Selatan itu musim ini.
“Bagi kami, Piala Malaysia merupakan trofi yang amat penting, malah setiap perlawanan juga adalah penting bagi kami.
“Ini kerana, kami perlu terus berkembang terus maju... seperti malam ini kita turunkan pemain-pemain muda yang telah beraksi dengan cukup baik.
“Apa pun, yang penting, kami perlu terus fokus, bermain sebagai satu pasukan, lebih dinamik dan lebih berintensiti bagi mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.
Bidoglio berkata demikian pada sidang akhbar sejurus tamat aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia berdepan skuad Liga A1 Semi-Pro, KL Rovers di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Untuk rekod, JDT menang 6-0 ( agregat 9-0), untuk mara ke suku akhir.
Sementara itu penyerang import JDT, Bergson da Silva berkata, dia sentiasa cuba untuk memberikan aksi terbaik setiap kali beraksi.
Katanya, apa yang penting aksi-aksi yang dipersembahkannya itu dapat membantu kejayaan pasukan.
“Kehadiran saya di sini adalah untuk membantu pasukan. Itulah yang saya lakukan hari demi hari, tahun demi tahun, bulan demi bulan dan perlawanan demi perlawanan.
“Bagi saya, tiada pilihan untuk bergelar juara melainkan kerja keras dan beraksi dengan sebaik mungkin dalam setiap perlawanan,” katanya.
KL Rovers puas hati prestasi pemain
BIARPUN tewas 0-6 (0-9 secara agregat) pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, skuad Liga A1 Semi-Pro, KL Rover tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan kesebelasan pemain di sepanjang perlawanan.
Menurut penolong ketua jurulatih pasukan, Iqbal Hanafi Masduki, kesemua pemain dilihat telah memberikan aksi terbaik masing-masing bagi menyaingi asakan-asakan daripada kesebelasan skuad Harimau Selatan itu.
“Pemain telah berikan 100 peratus, kita amat bersyukur dan diharapkan agar prestasi yang baik ini dapat dikekalkan untuk kita lalui saingan Liga A1 bertandang ke Bukit Tambun, Rabu depan.
“Ia juga merupakan satu pengalaman berharga buat pemain terutamanya kepada pemain-pemain muda yang kami berikan peluang beraksi kali ini.
“Jelas, biarpun ada masalah-masalah di luar padang mereka tetap bermain dengan sepenuh hati dan demi lencana di dada,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi pemain, Iqbal berkata, biarpun mempamerkan aksi terbaik namun pemain-pemain jelas kelihatan keletihan.
Apa yang kami perhatikan pemain kita nampak keletihan...mungkin ini kerana kita bertolak awal pagi dan sampai sebelum sepak mula petang ini (Sabtu).
“Bagaimanapun, pemain tetap berikan 100 peratus pada perlawanan ini walaupun berdepan struktur permainan oleh pemain-pemain JDT yang sangat bagus dan berkualiti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!