Johor cadang wajib pelajar 16 tahun sertai persatuan belia, pertubuhan sukarela

Mohd Hairi pada sesi soalan lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Ahad.
Mohd Hairi pada sesi soalan lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor bercadang mewajibkan pelajar berusia 16 tahun ke atas di negeri ini, menyertai persatuan atau pertubuhan sukarela seperti Majlis Belia Daerah atau Southern Volunteers (SV).

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, cadangan mampu memberikan pendedahan awal kepada pelajar sebelum memasuki alam remaja dan selepas mereka keluar daripada alam persekolahan.

"Saya ingin mencadangkan supaya pelajar di Johor dengan satu transformasi baharu yang dikaji dan dibuat supaya pelajar berusia 16 tahun ke atas diwajibkan untuk menceburi persatuan atau pertubuhan sukarela seperti Majlis Belia Daerah atau SV Muda, mengikut pilihan mereka.

"Pelaksanaan dan pendedahan ini membolehkan golongan ini tidak berasa kekok untuk menceburi persatuan atau pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Ahad.

Mohd Hairi (BN- Larkin) sebelum itu menjawab soalan dikemukakan See Chin Li (DAP-Tangkak) adakah kerajaan negeri berhasrat untuk menubuhkan kelab belia di semua sekolah di Johor.

Mengulas persoalan itu, Mohd Hairi menjelaskan kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor tidak berhasrat untuk menubuhkan persatuan atau pertubuhan belia di semua sekolah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, tindakan itu bagi menghormati Dasar Pelaksanaan Kokurikulum dan juga Akta Pendidikan 1961 sedia ada di Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Kerajaan negeri juga mengambil pendekatan untuk tidak menubuhkan kelab belia di sekolah kerana ia dilihat akan menambah beban sedia ada guru dan turut mengambil kira faktor bahawa Malaysia masih kekurangan tenaga pengajar.

"Untuk makluman, Johor memiliki hampir dua juta belia, iaitu separuh daripada populasi keseluruhan negeri Johor yang direkodkan seramai 4.1 juta penduduk berdasarkan rekod terkini Jabatan Perangkaan.

"Bagi persatuan atau pertubuhan belia yang berdaftar di Johor keseluruhannya adalah berjumlah 1,123," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!