Real Madrid serius mahu dapatkan Alexander-Arnold
REAL Madrid telah memaklumkan kepada Liverpool tentang minat mereka untuk menandatangani Trent Alexander-Arnold, menurut satu laporan.
Pemain berusia 25 tahun itu, yang kontraknya tamat pada akhir musim dan bebas bercakap dengan mana-mana kelab mulai 1 Januari, telah sering dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Sepanyol itu.
Liverpool tetap berharap mereka dapat meyakinkan Alexander-Arnold untuk menandatangani kontrak baharu.
Dia merupakan salah seorang daripada tiga bintang, bersama kapten Virgil van Dijk dan Mohamed Salah yang boleh meninggalkan kelab itu secara percuma sekiranya tidak disambung kontrak pada musim panas ini.
Madrid tidak perlu untuk berhubung dengan Liverpool sekiranya mahu berunding dengan Alexander-Arnold tetapi, menurut talkSPORT, juara Eropah 15 kali itu telah menyatakan hasrat mereka untuk membawanya ke ibu kota Sepanyol sebagai menghormati The Reds.
Pemain Inggeris itu berada di bangku simpanan ketika menerima kunjungan Real Madrid ke Anfield dalam aksi Liga Juara-juara ketika dia kembali dari kecederaan hamstring.
The Reds menunjukkan persembahan sempurna menentang pasukan LaLiga itu dan melengkapkan kemenangan dominan 2-0.
Real yang kini berada di kedudukan dalam liga utama Sepanyol itu beraksi tanpa pertahanan kanan berikutan kecederaan ACL kepada Dani Carvajal yang akan mengenepikannya sepanjang musim.
Isu itu dipercayai telah mempercepatkan keinginan kelab untuk merekrut penggantinya dan semua petunjuk menunjukkan bahawa Alexander-Arnold adalah pilihan utama mereka.
Persahabatan pemain pertahanan itu dengan pemain tengah Real, Jude Bellingham juga telah menyebabkan ramai yang membuat kesimpulan bahawa dia akan bermain di luar negara musim depan.
Di bawah kendalian Arne Slot, Alexander-Arnold telah bertambah baik dari segi pertahanan dan menikmati kempen yang mengagumkan ketika The Reds menduduki tangga teratas kedua-dua Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.
Walaupun Liverpool sangat berminat untuk mengekalkan Alexander-Arnold, Slot mungkin sudah mempunyai pengganti yang sempurna dalam skuadnya sekarang.
Conor Bradley yang berusia 21 tahun berada dalam kesebelasan utama dalam kemenangan ke atas Real dan kemudiannya dinamakan sebagai Pemain Terbaik selepas tampil cemerlang menyekat Kylian Mbappe.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!