Banjir: Dua laluan utama di Raub ditutup kepada kenderaan ringan
KUANTAN - Dua laluan utama di Raub ditutup kepada kenderaan ringan susulan kejadian banjir di daerah itu pada Ahad.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub memaklumkan, laluan terlibat iaitu Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Kilometer 344 hingga KM 342 (Gali Lurus-Gali Hilir) dan Jalan Cheroh-Gesing (Jambatan Gesing).
Kawalan lalulintas dilakukan Trafik IPD Raub di lokasi dan laluan hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja.
Raub kembali dilanda banjir apabila 473 mangsa di daerah itu dipindahkan ke 15 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Sabtu.
Menerusi portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 8.15 pagi pada Ahad, jumlah tersebut membabitkan 149 keluarga daripada tiga mukim di daerah itu.
Antara PPS yang dibuka Masjid Kampung Pintu Padang; Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang; Balai Raya Kampung Ulu Jelu; Dewan Lechar; Balai Raya Kampung Bukit Pampong dan Balai Raya Kampung Peruas.
Turut dibuka di Balai Raya Kampung Pamah Rawas, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Balai Raya Kampung Pamah Kulat dan Balai Raya Kampung Kuala Keloi.
Sementara itu, seramai sembilan mangsa membabitkan tiga keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangsang, Benta, Lipis yang dibuka pagi Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!