Guru wanita pindah RM243,000 ke dua akaun bank sebelum sedar ditipu

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang guru wanita rugi RM243,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan (NFCC).

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berusia 39 tahun menerima panggilan telefon pada 5 November lalu menyatakan akaun milik wanita itu telah disalahgunakan dan namanya terbabit aktiviti penggubahan wang haram

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang tidak dikenali mendakwa sebagai pegawai dari NFCC.

“Suspek memberitahu akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti penipuan. Bagi meyakinkan mangsa panggilan telefon disambungkan kepada individu kedua yang mengaku sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

"Mangsa kemudiannya diberitahu namanya terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Sohaimi, mangsa kemudiannya diminta oleh suspek untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan suspek untuk tujuan audit dan pembersihan rekod.

"Percaya dengan kata-kata suspek katanya, mangsa membuat sembilan kali pindahan wang melalui mesin ATM ke dalam dua akaun berbeza berjumlah RM243,000 antara 5 sehingga 23 November lalu.

“Mangsa menyedari ditipu apabila terus didesak mangsa untuk membuat pembayaran tambahan lalu mangsa tampil membuat laporan polis,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan instrumen pembayaran atau akaun institusi kewangan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang meminta maklumat peribadi, butiran akaun bank atau meminta wang dipindahkan kepada pihak lain.

"Sentiasa semak identiti pemanggil dengan menghubungi pejabat atau agensi berkaitan melalui nombor telefon rasmi atau hadir ke mana-mana pejabat berkaitan untuk pengesahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!