‘Tak guna kalau masuk parti politik setakat menang pemilihan parti'
SHAH ALAM - Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan untuk terus memperkuatkan cawangan di peringkat akar umbi dan bukan sekadar mahu menang jawatan dalam pemilihan parti.
Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, tiada guna sekiranya ahli parti menang jawatan tetapi kalah dalam pemilihan raya akan datang.
“Armada ingin ingatkan, jangan tipu diri sendiri. Kita boleh kata cawangan kita 50, 100 atau 300 tetapi tak ada guna kalau kita masuk parti politik setakat menang pemilihan parti.
“Tetapi kalah dalam pilihan raya akan datang, kita datang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan bertanding bagai nak rak tetapi akhirnya kalah dalam medan perang yang sebenar.
“Kita kalah sebab sebenarnya keupayaan tersebut tidak wujud. Kalau tubuh cawangan, tubuh betul-betul, perwakilan nak buka cawangan...benarkan kerana kita nak bangunkan Bersatu yang ampuh untuk tumbangkan kerajaan Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa ucapan penangguhan PAT Bersatu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kepimpinan tertinggi parti itu.
Tambah Muhammad Hilman, ketua bahagian Armada diberi tempoh empat bulan untuk mewujudkan setiap satu pusat daerah mengundi (PDM), satu cawangan Armada.
“Saya sudah beri arahan dalam tempoh empat bulan iaitu sehingga akhir mac 2025, semua bahagian yang menang di peringkat Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka perlu pastikan satu PDM satu cawangan armada mesti diwujudkan.
“Kita nak pertahankan kawasan mereka, jadi ketua bahagian jangan tidak benarkan. Kita nak parti kita menang.
“Kita sudah tidak mahu nanti habis sahaja pilihan raya, jadi seperti dulu. Menang pilihan raya, lompat dan tinggalkan parti. Menang atas nama Bersatu tetapi selepas itu tinggalkan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!