[VIDEO] 'Srikandi janganlah gaduh dengan Ketua Bahagian' - Mas Ermieyati
SHAH ALAM - Pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar terus bekerjasama erat dan membina pasukan yang mantap selepas berakhirnya musim pemilihan.
Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ahli dan pimpinan saling memerlukan, jadi perselisihan yang mungkin berlaku perlu diketepikan demi kebaikan bersama.
“Sebab apa? Esok kalau ketua bahagian nak jadi calon, mereka ini juga lah yang akan turun membantu tuan-tuan dan puan-puan. Jangan takut. Nak takut buat apa? Ada ramai lagi ahli dalam bahagian kita. Ketua bahagian juga yang ‘steady’.
“Sebab itulah saya ingatkan diri saya dan yang atas ini (pimpinan parti) juga sebab apa yang ada di bahagian kita akan jadi contoh kepada orang lain.
“Tapi, saya pun nak berpesan juga. Srikandi janganlah gaduh dengan ketua bahagian. Kenalah sayang dekat ketua bahagian. Kita ini ibarat satu keluarga. Sebab itu, kita kenalah sayang,” katanya ketika berucap semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kepimpinan tertinggi parti itu.
Tambah Mas Ermieyati, beliau bertuah kerana mempunyai timbalan ketua bahagian dan pasukan yang mantap.
“Dia tahu ketua bahagian sibuk, jadi pasukan sistem sokongan ini perlu ada di setiap bahagian.
“Kita perlu latih (ahli), kaderkan mereka supaya Bersatu bertambah mantap dan kukuh di samping Presiden kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, jumlah ahli Srikandi di seluruh negara kini mencecah 157,000 orang.
Jelasnya, usaha meningkatkan keahlian di seluruh perlu dipertingkatkan, termasuk sayap lain seperti Armada, Bersekutu dan ahli Bersatu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!