[VIDEO] Banjir: PM umum RM25 juta peruntukan tambahan bagi Kelantan, Terengganu

A
A
A

SETIU - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta kepada negeri Kelantan dan Terengganu bagi membantu kerja membaiki infrastruktur asas susulan keadaan banjir yang serius melanda kedua negeri tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah berkenaan adalah tambahan kepada peruntukan sebanyak RM50 juta di kedua negeri tersebut yang diluluskan sebelum ini menerusi peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Anwar tiba di Kuala Terengganu bagi meninjau sendiri situasi bencana banjir di negeri itu yang semakin buruk selain menyantuni mangsa.
Anwar tiba di Kuala Terengganu bagi meninjau sendiri situasi bencana banjir di negeri itu yang semakin buruk selain menyantuni mangsa.

Menurutnya, peruntukan berjumlah RM50 juta itu disalurkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM25 juta masing-masing di Kelantan dan Terengganu.

Anwar menambah peruntukan tersebut akan digunakan untuk segera membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut, Terengganu.

"Seperti mana telah diumumkan rakan-rakan kita akan beri seluruh kerjasama, bantuan yang penuh. Bagi Kelantan dan Terengganu, kita umumkan sebanyak RM50 juta telah diputuskan untuk disalurkan.

"Kemudian saya dapat maklumat lagi dan keperluan-keperluan mutakhir ini dan kita dah lulus....selain dari RM50 juta tambahan kerana nampak jumlah yang terkesan itu jauh lebih besar daripada unjuran awal.

"Makna kita tambah lagi RM25 juta. Jadi saya umumkan hari ini (peruntukan) iaitu sebanyak RM75 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai keadaan banjir di negeri lain, Anwar menyatakan pihaknya kini sedang memantau perkembangan bencana yang berlaku di negeri terlibat.

"Jadi untuk negeri lain, kita sedang pantau maka kita tidak mahu jadi salah faham.

"Kita akan memenuhi keperluan dan jumlah keseluruhan banjir kali ini hampir mencecah RM1 billion," ujarnya.

Sementara itu, Anwar menyatakan kerajaan Persekutuan turut bersetuju menyediakan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada setiap penjawat awam di Terengganu.

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan lebih 14,000 penjawat awam di Terengganu dengan peruntukan keseluruhan akan disalurkan kepada kerajaan negeri berjumlah RM7.4 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!