[VIDEO] Bomba bantu pesakit buah pinggang tahap 5 terkandas banjir

A
A
A

TUMPAT - Laluan ke Hospital Tumpat di Jalan Kelaboran di sini yang ditutup akibat banjir setinggi 0.9 meter menyebabkan seorang pesakit buah pinggang tahap lima terpaksa mendapatkan bantuan bomba.

Bapa dua anak itu, Zulkifli Ismail, 43, dari Kampung Kok Keli menghubungi pihak keselamatan terbabit dan kemudian membawanya dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) oleh dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat ke hospital berkenaan untuk menjalani rawatan dialisis di hospital terbabit pada jam 11 pagi.

Keadaan banjir di perumahan Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat. Foto Sinar Harian-ADILA SHARINNI WAHID.
Keadaan banjir di perumahan Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat. Foto Sinar Harian-ADILA SHARINNI WAHID.

Operasi membawa Zulkifli ke hospital oleh bomba terpaksa menggunakan laluan alternatif di jalan perumahan Taman Sri Dalam Rhu yang turut digenangi air di sesetengah tempat namun masih boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Zulkifli juga bekas buruh binaan itu berkata, dia mengalami sesak nafas sejak sehari lalu dan perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Dia juga keluar berjalan kaki sejauh 500 meter dari rumah bagi memudahkan pihak bomba melihat dan membawanya ke hospital.

Zulkifli (kiri) dibantu bomba turun dari kenderaan apabila sampai di Hospital Tumpat. Foto Sinar Harian-ADILA SHARINNI WAHID.
Zulkifli (kiri) dibantu bomba turun dari kenderaan apabila sampai di Hospital Tumpat. Foto Sinar Harian-ADILA SHARINNI WAHID.

“Biasanya saya akan ke hospital dengan menunggang sendiri motosikal tetapi jalan dipenuhi banjir.

Artikel Berkaitan:

“Saya pula dalam keadaan badan sangat lemah,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Zulkifli memberitahu, dia bersama isteri dan dua anak mereka yang berusia 14 dan lapan tahun berada dalam keadaan waspada kerana air sudah memenuhi kawasan tali air berdekatan rumah mereka.

“Saya akan menjalani dialisis selama empat jam dan akan pulang menggunakan kenderaan pasukan keselamatan juga selepas ini.

“Anak-anak dan isteri pula berada di rumah dalam keadaan berjaga-jaga banjir,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Tumpat mendapati, Perumahan Sri Dalam Rhu, Taman Sri Bayu, Kampung Tujuh, Kampung Baru Nelayan dan Jubakar Pantai masih digenangi banjir 0.9 meter sehingga semeter.

Setakat 12.30 tengah hari Ahad, mangsa banjir di daerah Tumpat terus meningkat kepada 18,092 yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan banjir (PPS) berbanding 13,880 di 29 PPS pada hari sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!