PPS SK Sering jadi contoh, baca al-Quran ketika musibah
KOTA BHARU - Musibah banjir di Kelantan bukan alasan untuk mangsa tidak membaca al-Quran yang menjadi doa supaya mereka kekal tenang dan dipermudahkan urusan.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) Datuk Adnan Hashim berkata, justeru, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sering akan menjadi pusat pemindahan contoh kerana tetap mengamalkan pembacaan al-Quran setiap hari walaupun ditimpa musibah.
Menurut beliau, persatuan berkenaan akan bekerjasama dengan Pertubuhan Komuniti Kampung Sering bagi mencapai hasrat itu.
"Kami akan berusaha menggalakkan mangsa banjir di PPS tetap menjadikan al-Quran sebagai amalan walaupun berada dalam keadaan sukar.
"Ayat-ayat suci ALLAH SWT sebenarnya dapat membantu mengurangkan beban dan memberi semangat untuk mereka yang dilanda bencana," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan di SK Sering.
Jelas beliau, ahli PRNNK sepatutnya mengadakan Konvensyen Rumah Ngaji di Masjid Muhammadi Kota Bharu pada Sabtu namun bersetuju menunda program berkenaan pada tarikh lain susulan banjir yang menimpa rakyat Kelantan.
"Bagaimanapun kami teruskan dengan melaksanakan Program Baca, Faham, Amal dan Sampai al-Quran sempena lawatan dan menyantuni mangsa banjir di SK Sering," katanya.
Pada majlis itu, kumpulan berkenaan menyampaikan makanan dan minuman serta memberi kefahaman berkaitan kandungan al-Quran melalui pendekatan membaca, memahami dan mengamalkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!