[VIDEO] Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat - PM

A
A
A

SETIU - Tiada keperluan isytiharkan darurat berikutan banjir teruk yang melanda negara termasuk Kelantan dan Terengganu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menjelaskan ini kerana setakat ini keseluruhan jentera pasukan keselamatan serta kerajaan mampu menangani bencana yang berlaku itu dengan baik.

Anwar menyantuni mangsa banjir di PPS SK Telaga Papan.
Anwar menyantuni mangsa banjir di PPS SK Telaga Papan.

"Sekarang ini dari segi pasukan keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara, kita tidak memikirkan keperluan itu.

"Ini kerana seluruh jentera pasukan keselamatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah dilihat dapat menangani masalah ini dengan baik.

"Jadi tidak ada keperluan sama sekali untuk diisytihar darurat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar turut melakukan lawatan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Mangkok untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sana.

Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah buruk dengan Pahang menjadi negeri terbaharu yang ditimpa musibah itu, menyaksikan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini berbanding 146,611 orang malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di 284 PPS mencecah 96,743 orang daripada 29,928 keluarga setakat ini berbanding 93,158 orang malam tadi.

Di Terengganu pula jumlah mangsa terus meningkat kepada 43,281 orang pagi ini berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, melibatkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan.

Bagaimanapun situasi di Negeri Sembilan dan Selangor pula mencatatkan sedikit penurunan mangsa setakat jam 8 pagi ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!