Setiausaha Agung ASEAN bertemu Anwar semasa lawatan kerja ke Malaysia

Kao Kim Hourn
Kao Kim Hourn
A
A
A

JAKARTA - Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn akan memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia bermula Isnin dan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan persiapan bagi Jawatan Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025.

Lawatan ini, yang dilakukan atas jemputan Kementerian Luar Negeri Malaysia, disahkan oleh Sekretariat ASEAN pada Ahad.

Menurut Sekretariat, pertemuan Kao dengan Anwar akan memberi tumpuan kepada keutamaan dan pencapaian utama yang perlu dicapai oleh Malaysia semasa memegang jawatan selaku Pengerusi ASEAN yang bertemakan 'Keterangkuman dan Kemampanan'.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, serta Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Pertemuan itu bertujuan memastikan persediaan menyeluruh Malaysia bagi peranan kepimpinannya dan memberikan sokongan penuh, menurut Sekretariat.

Lawatan ini susulan penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN dari Laos kepada Malaysia pada 11 Okt di Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.

Anwar menerima palu Pengerusi ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, menandakan penyerahan simbolik peranan itu bermula 1 Jan 2025.

Malaysia sebelum ini pernah memegang Jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!