Keadaan banjir di seluruh negara lebih teruk daripada 2014 - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid semasa sidang media pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid semasa sidang media pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keadaan banjir di seluruh negara ketika ini khususnya di Kelantan dan Terengganu amat membimbangkan kerana ia lebih teruk berbanding tahun 2014, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, lebih merisaukan adalah keadaan dijangka semakin buruk dengan fenomena air pasang besar di Laut China Selatan dan di Selat Melaka, yang berada di puncaknya.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri berkata, terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka berlaku pengurangan luruan hujan nanti.

"Kita yakin dengan pengurangan luruan hujan itu, ia akan mengurangkan pemindahan (mangsa banjir) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Susulan itu juga, Ahmad Zahid berharap agar penduduk di negeri yang terkesan dengan banjir dapat mengikut arahan jawatankuasa bencana negeri, dan ketika ini lebih 82,000 pegawai dan anggota keselamatan telah dimobilisasikan bagi membantu mangsa di kawasan terlibat.

Beliau berkata, ketika ini PPS yang ada di seluruh negara mampu menampung kira-kira 2.1 juta mangsa banjir.

"Namun kita merasakan kesiapsiagaan sahaja tidak mencukupi, penduduk di kawasan yang dijangkakan banjir terutama di kawasan rendah hendaklah mengikut nasihat diberikan jawatankuasa bencana negeri untuk berpindah awal.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu jumlah kematian bertambah, maka kesiapsiagaan dan amaran awal mesti diikuti sepenuhnya agar dapat mengelakkan kehilangan nyawa," katanya yang turut meminta agar badan sukarelawan dan individu supaya bersedia untuk menyalurkan bantuan pasca bencana bagi meringankan beban mangsa pasca banjir.

Ahmad Zahid seterusnya meminta semua pihak agar mengetepikan perbezaan warna dan fahaman politik demi membantu mangsa banjir yang terkesan.

Keadaan banjir di Semenanjung dilaporkan semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini, berbanding 146,611 malam tadi.

Pahang menjadi menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu yang menyaksikan 15 PPS dibuka di daerah Raub menempatkan seramai 452 mangsa daripada 146 keluarga, pagi tadi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!