SPNB lepasi sasaran bina 23,000 Rumah Mesra Rakyat
TAMBUN - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya mengatasi sasaran apabila membina 23,000 Rumah Mesra Rakyat (RMR) bernilai RM1.92 bilion menjelang tahun 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dalam bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), SPNB telah diperuntukkan dana sebanyak RM1.23 bilion untuk membina 15,000 unit rumah.
"Saya sukacita mengumumkan SPNB telah berjaya melepasi sasaran asal RMK-12 sebanyak 53 peratus iaitu tambahan pembinaan 8,000 unit RMR dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan B40.
"Peruntukan besar dalam tempoh lima tahun itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus menawarkan kediaman yang berkualiti tinggi dengan harga rendah daripada pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada 45 pemilik Vila Idaman dan RMR sempena Program Sentuhan Kejayaan KPKT di Pinggiran Tanah Hitam, Chemor pada Ahad.
Menurut beliau, SPNB juga mensasarkan untuk membina 5,400 unit RMR di seluruh negara tahun depan berbanding tahun ini.
"Tahun ini sasaran asal adalah membina 3,500 unit RMR tetapi setakat bulan ini SPNB telah melebihi sasaran dengan membina 4,500 unit," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, bilangan rumah mampu milik yang tidak terjual sejak 2021 telah dikurangkan sebanyak 40 peratus.
"Pada tahun 2021, rumah yang tidak terjual adalah 37,000 unit namun, atas usaha gigih kerajaan Madani angka itu berkurangan tinggal sekitar 24,000 unit sahaja termasuk projek yang sedang dalam pelancaran.
"Saya yakin sektor hartanah sedang dalam proses pemulihan apabila KPKT mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) mencapai RM100.5 bilion dalam jualan hartanah setakat Jun lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!