Calon SPM tetap tekun ulang kaji di PPS

Muhammad Aidil Adwa Irfan tetap tekun mengulang kaji pelajaran menggunakan telefon pintar kerana tidak sempat membawa buku dan kelengkapan peperiksaan di PPS.
Muhammad Aidil Adwa Irfan tetap tekun mengulang kaji pelajaran menggunakan telefon pintar kerana tidak sempat membawa buku dan kelengkapan peperiksaan di PPS.
A
A
A

SETIU - Biarpun terpaksa menjadikan pusat pemindahan sementara (PPS) Telaga Papan di sini sebagai rumah kedua untuk berlindung susulan kediaman keluarganya ditenggelami air, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap tekun mengulang kaji pelajaran bagi menduduki ujian lisan bahasa Melayu pada Selasa ini.

Muhammad Aidil Adwa Irfan Zulkifli, 17, berkata, walaupun tidak sempat membawa buku dan kelengkapan peperiksaan di PPS tersebut, namun dia masih boleh mengulang kaji dengan menggunakan telefon pintar berikutan segala nota dan soalan latih tubi berkaitan pembelajaran telah disimpan di Google Drive miliknya.

"Rumah keluarga saya dinaiki air sejak petang semalam menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS dan sememangnya saya bercadang bawa buku-buku bawa ke PPS sekiranya banjir.

Muhammad Aidil Adwa Irfan terpaksa menjadikan PPS Telaga Papan di sini sebagai rumah kedua untuk berlindung susulan kediaman keluarganya ditenggelami air.
Muhammad Aidil Adwa Irfan terpaksa menjadikan PPS Telaga Papan di sini sebagai rumah kedua untuk berlindung susulan kediaman keluarganya ditenggelami air.

"Tetapi air naik sangat mendadak sehingga saya tidak sempat membawa buku ke PPS. Kalau ikutkan saya rasa gemuruh untuk jawab peperiksaan pada Selasa nanti namun saya gigihkan diri untuk mengulang kaji walaupun berada dalam serba kekurangan.

"Dengan hanya baki beberapa hari lagi sebelum peperiksaan, saya tetap manfaatkan waktu terluang seperti ini untuk tetap mengulang kaji walaupun berdepan cabaran antaranya suasana yang bising dan kurang selesa iaitu terpaksa tidur di khemah yang disediakan," katanya ketika ditemui di (PPS) Telaga Papan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Muhammad Aidil Adwa Irfan berkata, ini merupakan kali kedua rumah keluarganya di Perumahan Tabung Hajii itu dilanda banjir selepas kali pertama pada 2022.

Mengulas lanjut, dia berkata, pihak sekolah telah menyediakan penginapan asrama kepada dirinya namun terpaksa menolak pelawaan tersebut kerana mahu menjaga adiknya yang berumur 12 tahun di PPS SK Telaga Papan di Setiu.

Artikel Berkaitan:

"Ayah saya sudah meninggal dunia sejak enam tahun lepas. Saya tinggal bersama ibu dan adik lelaki berusia 12 tahun, jadi jika saya tinggal di asrama, tiada siapa yang menemani adik di PPS ini.

"Ditambah pula, rumah keluarga kami terjejas banjir. Jadi saya perlu membantu ibu dalam urusan mengemas rumah dan membersihkan kawasan rumah yang mengalami kerosakan akibat banjir," ujarnya.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Penarik itu berkata, terpaksa mencuri masa mengulang kaji sebagai persediaan SPM pada waktu malam di kelas-kelas yang kosong supaya lebih fokus untuk belajar.

"Saya anggap ini pengalaman yang tidak dilupakan dalam sepanjang hidup saya di mana pada hari penting dalam hidup terpaksa berpindah ke PPS.

"Saya anggap ini ujian dan cabaran pada saya untuk melakukan lebih terbaik pada peperiksaan SPM nanti. Insya-ALLAH, saya akan berusaha sebaik mungkin," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!