[VIDEO] 'Ini penghormatan 50 tahun saya dalam politik' - Hassan Karim
PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memuji Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendengar pembelaannya dan menyifatkan keputusan tidak mengenakan tindakan terhadapnya sebagai penghormatan.
Hassan berkata, sebagai ahli politik yang sudah 50 tahun terbabit dalam parti beliau menghormati keputusan MPP itu.
"Keputusan parti membawa saya ke Lembaga Disiplin, mendengar pembelaan saya dan akhirnya putuskan tindakan tindakan terhadap saya, adalah satu penghormatan kepada saya yang setia kepada parti.
"Jadi apabila orang hormatkan kita, saya amat hargainya. Sepanjang 50 tahun bergelumang dalam politik kepartian, ada hikmahnya juga.
"Selama ini, saya dah cakap apa yang perlu dicakap, namun pengalaman ini mengajar saya juga terhadap apa peranan sebagai anggota parti, dan Ahli Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Lebuhraya Pasir Gudang susulan aduan pengguna mengenai kerosakan laluan itu, di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, MPP PKR dilaporkan memutuskan tiada tindakan akan diambil ke atas Hassan.
Pada 21 November lalu, Hassan yang merupakan bekas Pengerusi PKR Johor dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti berkenaan selepas didapati mengkritik kerajaan dalam isu pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Selain itu, PKR turut melabel Hassan sebagai merosakkan imej parti tersebut apabila membuat kenyataan terbuka berkenaan.
Ditanya sama ada beliau akan meneruskan kelantangannya atau lebih berhati-hati mengkritik Kerajaan Madani selepas ini, Hassan berkata, secara asasnya beliau dilahirkan sebagai seorang yang bebas.
"Walau saya bebas bersuara, namun kena seimbangkan juga. Sekarang saya sudah tua, kena bijaksana.
"Kesimpulannya, apa yang saya lakukan adalah daripada niat ingin memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir bukan sahaja penggal ini malah jika mendapat sokongan sehingga penggal akan datang, selagi beliau mampu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!