Tangguh Kongres Nasional PKR di Johor tepat, dahulukan bantu mangsa banjir
PASIR GUDANG - Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menangguhkan Kongres Nasional 2024 di Johor yang dijadualkan Disember ini, disifatkan tepat bagi membolehkan tumpuan diberikan bagi membantu beberapa negeri terjejas banjir ketika ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penangguhan dibuat pucuk pimpinan PKR itu menunjukkan parti sudah membuat keputusan yang bijaksana dengan mendahulukan kepentingan rakyat.
"Keputusan itu saya sambut baik, hari ini sudah 1 Disember, ikutkan kongres akan berlangsung lagi dua minggu.
"Banjir ini ada gelombang satu dan dua, jadi saya rasa kongres boleh ditangguh dan itu satu keputusan yang bijaksana dengan memikirkan rakyat serta mangsa banjir yang sudah lebih 150,000 orang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau isu Lebuhraya Pasir Gudang susulan aduan mengenai kerosakan di laluan utama itu, pada Ahad.
Dalam pada itu, Hassan berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dipimpin parti lawan khususnya di Kelantan dan Terengganu dapat dilihat ketika bencana melanda kali ini.
"Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu dan kita dapat lihat kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu baik. Bencana banjir ini ada hikmahnya apabila tunjukkan kerjasama antara Pusat dan negeri saling membantu demi rakyat.
"Politik nanti, kita tunggu masa yang sesuai. Masa pilihan raya umum nanti kita berlawan lah. Tapi masalah rakyat kali ini (banjir) kita (kerajaan negeri dan Pusat) hadapi bersama," ujarnya.
Pada Sabtu, PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 yang dijadualkan Disember ini ekoran banjir di beberapa negeri ketika ini.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang berlangsung pada Sabtu.
Kongres Nasional PKR 2024 dijadualkan berlangsung pada 15 Disember depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, manakala Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.
Pada masa sama, MPP sudah memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan tetap diadakan pada 15 Disember 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!