Bersatu akui kelemahan akar umbi punca kalah dalam beberapa PRK
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui kelemahan di peringkat akar umbi menjadi faktor utama kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berikutan jumlah penubuhan cawangan adalah jauh lebih rendah berbanding pusat daerah mengundi (PDM).
“Kita hadapi masalah kelemahan bawah yang menyebabkan kekalahan kita pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), Mahkota, Nenggiri dan Pulai.
“Ini realiti kenapa kita kalah...bacaan data yang ada sepatutnya kita menang dan tahu boleh menang tetapi ada juga tempat yang sukar.
“Apabila kita turun bawah jumpa bahagian dan tanya berapa PDM kamu ada...jawabnya 30 tetapi cawangan hanya tujuh. Ini macam tak pergi sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa berucap ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kepimpinan tertinggi parti itu
Tambah Muhyiddin, jumlah cawangan perlu sekurang-kurangnya mempunyai nilai yang sama dengan PDM agar dapat menguatkan jentera parti.
“Kalau PDM yang ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada 30, sekurangnya cawangan pun 30.
“Ikut contoh Pagoh, kalau saya tak gerak dan desak sehingga ke peringkat bawah, mustahil hari ini sudah ada 55 cawangan dengan 47 PDM di sana,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!