'TMJ, Erick Thohir figura sesuai projek baharu bola sepak ASEAN'
EJEN bola sepak terkemuka, Jorge Mendes menyifatkan Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir sebagai figura sesuai untuk projek baharu bola sepak di Asia Tenggara.
Kenyataan Mendes itu yang dipetik oleh laman Facebook Johor Southern Tigers berdasarkan artikel akhbar di Singapura yang turut menyebut potensi projek bola sepak di Asia Tenggara.
"Akhbar The Straits Times (Singapura) menerbitkan artikel bahawa 'super agent' bola sepak terkemuka, Jorge Mendes bercakap mengenai potensi projek bola sepak di Asia Tenggara.
"Mereka menyebut Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik Kelab Bolasepak (JDT) serta Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Erick Thohir sebagai figura penting yang sesuai bagi projek tersebut.
"Menurut Sunday Times, Mendes telah mengadakan perbincangan dengan taikun Singapura yang juga pemilik Valencia, Peter Lim yang baru-baru ini telah mengadakan perjumpaan dengan Tunku Mahkota Ismail dan Erick Thohir berkenaan masa depan bola sepak di Asia Tenggara," kata kenyataan itu.
Mendes merupakan ejen pemain terkemuka dunia dan pernah mewakili pemain terkenal seperti Cristiano Ronaldo, Bernardo Silva, Diogo Jota dan beberapa pemain terkemuka lain.
Sebelum ini, Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor telah terima mengadap Erick, Pemilik kelab Persib Bandung, Glenn Sugita dan juga pemilik kelab Valencia, Peter Lim di Singapura pada 12 November lalu yang membincangkan senario bola sepak serantau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!