Banjir: NGO, swasta ingin salur bantuan dinasihat rujuk JKM, Nadma

Mangsa banjir sekitar Tumpat yang terkesan memilih untuk tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat hari ini. Foto Bernama
Mangsa banjir sekitar Tumpat yang terkesan memilih untuk tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang ingin membantu mangsa banjir dinasihat supaya merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) atau Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menyelaraskan agihan bantuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian amat menghargai inisiatif dan usaha murni yang dilakukan mereka untuk membantu mangsa banjir, namun pelarasan perlu dibuat bagi memastikan agihan bantuan lebih tersusun dan menyeluruh.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memudahkan agensi terlibat serta pihak NGO atau swasta untuk mengatur pergerakan agihan bantuan terutama di kawasan yang terputus hubungan atau berdepan risiko keselamatan.

"Pihak NGO atau swasta juga dinasihatkan supaya tidak bekerja secara sendiri dan bergerak melalui kerajaan... kita faham yang menjadi mangsa itu keluarga, rakan kita... tetapi kita perlu selaraskan.

"Hubungi Nadma, JKM atau pejabat daerah... kita akan bantu selaraskan, kalau tanpa pemakluman kita juga tak dapat nak bantu kerana ada kawasan yang sukar diakses dan kita juga mahu tiada mangsa yang keciciran bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2024 dan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP) di sini hari ini.

Nancy memberi jaminan, kementerian menerusi JKM bersama Nadma akan memastikan agihan bantuan bencana akan diselaraskan sebaiknya bagi memastikan tidak berlaku keciciran bantuan.

"Koordinasi dengan semua agensi terlibat juga dibuat dengan teliti... ini pendekatan menyeluruh kerajaan untuk membantu mangsa banjir.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini juga tiada laporan keciciran bantuan... yang ada kes di Rantau Panjang (Kelantan) kerana lokasi menjadi pulau akibat banjir, namun kita sudah ditangani segera,” katanya.

Banjir di beberapa negeri bertambah buruk dengan Pahang menjadi negeri terbaharu yang ditimpa musibah itu, menyaksikan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat kepada 152,377 orang pagi ini berbanding 146,611 orang malam tadi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!