Beku akaun: Bersatu sedia ambil tindakan undang-undang kepada SPRM, bank
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bank yang terlibat susulan pembekuan akaun parti itu sejak Januari 2023.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu telah mengadakan perbincangan dengan peguam dan sedang meneliti tindakan selanjutnya.
“Kita tengah memikirkan dan sudah berbincang dengan peguam sama ada nak ambil tindakan kepada SPRM kerana mengarahkan bank yang bersedia nak keluarkan tuntutan akaun yang kita nak gunakan. Dia tak benarkan.
“Selepas itu, nak buka akaun baharu juga tak benarkan. Ini zalim. Kami rasa ini satu perkara yang tidak adil.
“Saya dah bincang dan minta peguam teliti, mungkin nak ambil tindakan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan kedua kepada bank (sehingga) perbelanjaan kita tak boleh dibayar dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.
Dalam masa sama, Muhyiddin berkata, pendengaran kes permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dan mencabar SPRM itu akan berlangsung pada 23 Januari depan.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan undang-undang sedia ada, mana-mana agensi tidak berhak untuk menahan akaun parti dalam tempoh 12 bulan.
“Peguam sudah maklumkan bahawa tuntutan Bersatu untuk akaun diserahkan dan diaktifkan semula adalah wajar bersandarkan kepada undang-undang yang ada kaitan dengan hal itu. Mereka hanya boleh menahan (akaun) dalam tempoh 12 bulan. Itu pun tak patut.
“Selepas tempoh 12 bulan, mereka masih terus bekukan akaun. Dia tak sita tapi bekukan akaun, tak tahu atas sebab apa. Kita berpendapat bahawa ini menyalahi undang-undang, malahan dilihat sebagai salah guna kuasa.
“Agensi apa pun termasuk SPRM tak boleh langgar (undang-undang). Sebab itu, tuntutan kita di mahkamah ini wajar kerana sebagai sebuah pertubuhan, kita tak dikenakan apa-apa hukuman atau dituduh,” jelasnya.
Muhyiddin menegaskan, Bersatu tidak boleh dituduh atas apa-apa kesalahan dan sukar untuk bergerak jika kerajaan membuat tindakan sedemikian.
“Soal saya (dikenakan pertuduhan mahkamah), lainlah. Bersatu adalah organisasi dan sebagai sebuah pertubuhan politik yang besar, bagaimana kita nak hidup kalau kerajaan bertindak sebegini.
“Tapi tengok, kita masih cergas. Duit tak ada pun, kita kutip sikit-sikit. Kita tak malu beritahu, terpaksa kutip duit daripada ahli dan akhirnya, boleh bayar untuk adakan perhimpunan hari ini.
“Kos hampir RM400,000 untuk laksanakan, tak murah. Macam mana kita nak urus (parti) kalau akaun sah tak boleh digunakan, nak buka akaun baru pun tak dibenarkan. Bagi saya itu tindakan yang melanggar perlembagaan dan undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, dua akaun Bersatu yang dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 telah disita SPRM pada 11 April tahun sama untuk tindakan lanjut.
SPRM memaklumkan, sitaan dibuat setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!