Hawariyyun konsep tidak eksklusif, terbuka kepada semua
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menyampaikan mesej dakwah keindahan al-Quran melalui media sosial atau pelbagai platform media lain boleh menjadikan seorang Muslim itu sorang hawariyyun.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris menyifatkan hawariyyun adalah konsep yang tidak eksklusif dan semua orang boleh menjadi seorang hawariyyun pada masa ini.
Jelasnya, semua pihak juga mempunyai peranan masing-masing kerana antara jihad yang utama ketika zaman ini adalah jihad media dan semua orang memiliki saluran media mereka sendiri.
"Kita mempunyai telefon dan media sosial sendiri, paling tidak mempunyai akaun Facebook, boleh menulis serta membuat kandungan sendiri dari seusia kanak kanak sehingga berpangkat datuk.
"Apa sahaja dipelajari, dan didapati dalam tadabbur apa pun, seringkas-ringkasnya boleh bermula dengan Surah Al Baqarah, malah dengan memulakannya dengan menyatakan al Quran itu pemberi rahmat.
"Dengan penyataan seringkas itu kita sudah menjadikan diri kita sebagai seorang pejuang agama, pejuang al Quran," katanya ditemui pada Konvensyen My #QuranTime #SavingTheUmmah di sini pada Ahad.
Konvensyen sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail.
Namanzee mengulas lanjut berkata, al-Quran adalah wasilah dan satu legasi yang dipertanggungjawabkan kepada untuk meneruskannya dan ia menjadikan diri kita sebagai seorang hawariyyun.
"Kita juga boleh menjadikan diri sebagai hawariyyun walaupun berada di rumah bahkan seorang diri di dalam bilik dengan menyatakan serta menyampaikan dakwah menerusi jihad media kita," ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, konvensyen itu bertujuan menyatukan masyarakat melalui al-Quran sambil mendorong transformasi diri berdasarkan nilai-nilai Quran, solat, dan infak (QSI).
"Ia juga menawarkan platform fizikal untuk pencinta al-Quran, asatizah, dan tokoh inspirasi bertemu, bertukar pengalaman, serta memperkukuhkan usaha menjadikan al-Quran panduan hidup.
"Melalui tema #SavingTheUmmah berpandukan Surah Al-Saff, kami menekankan pentingnya penyatuan, keimanan, dan tindakan berlandaskan al-Quran,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama strategik dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai penganjur utama SIBF turut memperkukuhkan usaha menjayakan kempen #QuranHour yang bertujuan menyebarkan mesej al-Quran ke seluruh lapisan masyarakat.
Antara pengisian menarik konvensyen kali ini adalah Gema al-Quran Surah al-Saff, Call for Hawariyyun, Sesi Tadabbur #SavingTheUmmah dan pembinaan karakter berpandukan Quran, Solat dan Infak (QSI).
Melalui program ini, peserta berpeluang dalami maksud al-Quran, berinteraksi dengan asatizah My #QuranTime, dan menyelami mesej Surah Al-Saff yang menekankan pentingnya penyatuan ummah seperti bangunan kukuh.
Barisan panelis yang tampil dalam konvensyen tersebut terdiri daripada Qari My #QuranTime, ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, serta pentadabbur utama, Fazrul.
Sementara itu, Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Coach Jamil Wahab pula menjadi sebagai hos dan moderator sepanjang konvensyen tersebut berlangsung bagi sesi pagi dan petang.
Dalam masa sama, WUIF turut berharap dapat memperluaskan impak konvensyen berkenaan ke setiap zon, termasuk Brunei dan Singapura, bagi membina ummah yang lebih kukuh dan bersatu.
Sementara itu, seorang peserta, Dona Novalita Hamami Osman, 47, seronok kerana dapat bersama kawan-kawan lain mengikuti konvensyen kali ini dengan pelbagai ilmu dapat ditimba.
"Saya datang dari Melaka untuk menghadiri konvensyen kali ini dan difahamkan ia adalah julung kali adakan, sangat bermanfaat dan saya serta rakan-rakan amat seronok," ujarnya.
Seorang lagi peserta, Rosni Mohamad, 59, juga dari Melaka berkata, dia gembira kerana dapat untuk menghadiri konvensyen tersebut bersama suami dan rakan-rakan dari Melaka malah dipermudahkan oleh ALLAH.
"Ini kerana anak cucu balik ziarah kami pada Ahad, jadi peratus nak hadir itu tipis tetapi Alhamdulillah saya dapat hadir konvensyen kerana minggu ini anak-anak sepakat tidak balik ke Melaka," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Nurain Shawanah Nor Azmi, 27, berkata, dia turut menyertai konvensyen itu apabila bapanya, Sahali Sahedin, 52, dan ibunya Nor Azmi Abdul Samad, 54, dari Perak menyertainya.
"Bagi saya, program seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan lagi, dan mungkin dapat diisi dengan segmen-segmen baharu yang dapat menarik lagi minat golongan belia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!