PN bincang ‘poster boy’, calon Ketua Menteri Sabah minggu depan
SHAH ALAM - Calon Ketua Menteri dan ‘poster boy’ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara agenda utama dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang akan berlangsung pada minggu depan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini tiada sebarang ketetapan dibuat meskipun Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengetuai parti itu di Sabah ketika ini.
“‘Poster boy’ untuk Sabah, tak tahu lagi. Nanti kita akan ada mesyuarat Perikatan Nasional minggu depan. Ini adalah salah satu daripada topik ataupun agenda yang kita akan bincangkan, persiapan pilihan raya di peringkat negeri Sabah.
“Ketiganya, sama ada kita bertanding secara solo ataupun kita bertanding dengan gabungan parti-parti lain di Sabah,” katanya katanya semasa sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.
Terdahulu, semasa ucapan penangguhan, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memberitahu bahawa PN akan menjadikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Jelasnya, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee meminta parti itu memasukkan pelaksanaan MA63 yang termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dalam manifestonya.
"Dia kata, ia sudah dalam terkandung MA63 dan Perlembagaan Malaysia, itu mesti dimasukkan dalam manifesto PRN Sabah yang akan diadakan tak lama lagi.
"Saya jawab ya, kita akan masukkan dan ia akan menjadi salah satu perkara teras dalam manifesto kita,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!