5,000 anggota Jabatan Amal Pas digerakkan bantu mangsa banjir
IPOH - Seramai 5,000 anggota Jabatan Amal Pas telah digerakkan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara ketika ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, semua anggota memulakan misi bantuan sejak minggu lalu dengan sebahagian besarnya ke negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang teruk terjejas.
"Dari hari pertama banjir lagi, kita terus gerakkan kekuatan anggota Jabatan Amal.
"Semuanya berjalan dengan baik. Agensi dan pasukan keselamatan seperti polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), memberi kerjasama dan kolaborasi yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Minum Petang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Pas bersama Media Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Akmal Kamaruddin.
Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, selain sumbangan tenaga, Pas di setiap kawasan turut mengumpulkan bantuan kewangan, pakaian dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
"Ini termasuklah mengaktifkan program Dapur Rakyat bagi penyediaan makanan kepada mangsa banjir.
"Insya-ALLAH bantuan ini akan berterusan sehinggalah ke fasa pasca banjir nanti di mana anggota kita juga terlibat dalam kerja-kerja pembersihan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau mahu pengamal media di negeri ini terus berperanan sebagai penyampai maklumat yang tepat dan benar kepada rakyat.
Katanya, meskipun berlaku lambakan maklumat di media sosial, majoriti rakyat terutama di luar bandar masih bergantung kuat terhadap laporan yang dipaparkan di media arus perdana.
"Harapan kita agar media dapat sampaikan naratif yang tepat dan seimbang, terutama dalam pelaporan usaha dan inisiatif yang dilakukan Pas.
"Laporkanlah secara adil dan dalam bentuk fakta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!