Lebih 140,000 mangsa banjir masih di PPS, Kelantan paling terjejas
SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di 10 negeri kini menurun kepada 144,416 orang daripada 43,266 keluarga yang ditempatkan di 666 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5.30 petang.
Berdasarkan maklumat portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),10 negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Melaka, dan Johor, membabitkan 39 daerah.
Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk dilanda banjir dengan 262 PPS diaktifkan untuk menempatkan 91,504 orang daripada 28,406 keluarga yang terjejas di sembilan daerah.
Terengganu pula membuka 292 PPS di lapan daerah, menempatkan 40,004 mangsa daripada 10,943 keluarga.
Di Negeri Sembilan, sembilan PPS di tiga daerah dibuka untuk bagi memberi perlindungan kepada 1,462 mangsa daripada 390 keluarga manakala di Kedah, 8,877 mangsa ditempatkan di 55 PPS melibatkan enam daerah.
Sementara itu di Perlis, dua PPS di dua daerah menempatkan 380 mangsa daripada 118 keluarga manakala Selangor dilaporkan telah menutup PPS.
Keadaan banjir di Johor pula merekodkan 734 mangsa daripada 195 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS di satu daerah.
Di Melaka, empat PPS diaktifkan untuk menempatkan 244 mangsa daripada 58 keluarga di tiga daerah.
Pahang yang mula membuka 25 PPS di tiga daerah hari ini menempatkan 1,166 mangsa daripada 392 keluarga.
Perak kembali membuka satu PPS di sebuah daerah membabitkan 47 mangsa daripada 12 keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!