Dua warga emas lemas ketika pantau haiwan ternakan
TUMPAT - Dua warga emas menjadi korban angkara menjaga ternakan di Machang di sini, pada Ahad, menjadikan kesemua mangsa lemas banjir di negeri ini seramai lima individu.
Mangsa, Shokarno Mahmood, 72, ditemukan lemas di dalam parit di Kampung Kuala Sat pada jam 8 pagi.
Seorang lagi mangsa, Mat Salleh Yaacob, 78, ditemukan lemas di rumah rakit bersebelahan rumahnya di Kampung Gelung Gajah pada jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka dipercayai memantau haiwan peliharaan lembu dan kambing di kawasan banjir setinggi lebih semeter.
“Pagi tadi membabitkan mangsa yang pergi ke kawasan banjir untuk melihat lembu ternakan, manakala mangsa kedua pula ingin melihat kambing peliharaannya.
“Kedua-dua ditemukan oleh keluarga dan penduduk dalam keadaan sudah meninggal dunia akibat lemas banjir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini, pada Ahad.
Beliau memberitahu, mereka disahkan mati akibat lemas oleh pihak hospital.
Polis dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan berpindah jika kediaman dinaiki air.
“Utamakan keselamatan nyawa dan diri terlebih dahulu dalam musim banjir.
“Dua kematian ini menjadikan jumlah korban banjir di Kelantan seramai lima individu,” katanya.
Sebelum ini, tiga korban banjir termasuk satu di Pasir Puteh akibat renjatan elektrik dan seorang kanak-kanak setahun jatuh dalam banjir di Tumpat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!