Pembinaan jambatan Bailey di laluan terputus akan disegerakan
BAGAN DATUK - Pembinaan jambatan Bailey bagi menghubungkan laluan yang terputus akibat bencana tanah runtuh di seluruh negara akan disegerakan.
Ia termasuklah laluan terputus di Kilometer 35 Jalan Gua Musang - Jeli berhampiran Kampung Jerek, Gua Musang yang menghubungkan lebih 3,000 penduduk melibatkan lapan buah kampung akibat mendapan tanah dan tanah runtuh pada Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terlibat bagi membina jambatan itu.
"Dalam tempoh 48 jam kita akan terus atur gerakan aset itu ke kawasan yang terjejas. Ini pernah saya lakukan apabila hubungan di antara Segamat dan Rompin terputus, jambatan bailey itu dibina dalam tempoh 72 jam.
"Kita mempunyai simulasi sebelum ini untuk pembinaannya dengan kerjasama Kor Jurutera ATM dan juga oleh pihak JKR setakat ini. Maklumat yang saya dapati kira-kira tujuh lokasi yang dikenal pasti dan Insya-ALLAH aset untuk jambatan Bailey itu mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Penutup Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk di Dewan Armada Politeknik Bagan Datuk di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahmad Zahid berkata, pembinaan jambatan tersebut amat penting untuk dilaksanakan segera bagi memudahkan urusan penduduk selain menghantar bantuan atau proses menyelamat mangsa bencana.
Menurutnya, bagi pembinaan jambatan kekal untuk menggantikan jambatan Bailey itu, NADMA sudah menyediakan peruntukan bagi tujuan tersebut.
Jelasnya, NADMA bersama-sama JKR dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membina semula jambatan-jambatan itu terutama jambatan kampung di kawasan jalan perhubungan desa.
Setakat jam 5 petang hari ini, seramai 145,897 mangsa daripada 43,701 keluarga terjejas banjir dipindahkan ke 673 PPS di sembilan negeri.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyempurnakan Program Tautan Desa Madani KKDW Sempena Program Kampung Angkat Madani (KAM) 2024 di Sekolah Kebangsaan Sungai Betul di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!