Limpahan Sungai Golok mudahkan akses penyeludup
TUMPAT - Limpahan Sungai Golok akibat hujan lebat di Tumpat dan Pasir Mas sejak seminggu lalu mengakibatkan akses penyeludupan menjadi lebih mudah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keadaan sungai menjadi lebar dari kebiasaan selain menenggelamkan tebing-tebing terbabit sangat digemari oleh sindiket penyeludupan.
Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang untuk menahan individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara di Sungai Golok berkuatkuasa pada Ahad namun belum ada tangkapan setakat ini.
“Apabila banjir pangkalan-pangkalan haram juga tenggelam menyebabkan tidak ada lagi sempadan darat.
“Penyeludup kalau boleh tiap-tiap hari nak banjir dan sebab itu, rondaan pihak berkuasa di kawasan sempadan ditingkatkan di samping usaha-usaha menyelamatkan mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Arasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini, pada Ahad.
Mohd Yusoff memberitahu, berdasarkan maklumat yang diterima, penyeludup dipercayai menggunakan bot pancung untuk bergerak di kawasan sempadan negara.
“Apabila ditanya mereka memberitahu mahu menghantar bantuan banjir.
“Setakat ini, belum ada tangkapan namun pihak polis akan meneruskan pemantauan bagi mengelak sebarang pembolosan sempadan pada musim banjir,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!