Banjir: Pusat peperiksaan ditutup, ATM bantu pindahkan calon SPM
HULU TERENGGANU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu memindahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setelah pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, di sini dinaiki air.
Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para), Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz berkata, seramai 48 pelajar dan dua guru dipindahkan ke pusat peperiksaan berdekatan di SMK Landas pada Ahad.
"Operasi memindahkan calon peperiksaan SPM dari SMK Menerong ke SMK Landas bermula sekitar jam 1 tengah hari hingga jam 4 petang.
"Operasi menerusi Ops Murni ini dilakukan bagi membolehkan pelajar menduduki peperiksaan disebabkan pusat peperiksaan SMK Menerong telah ditutup akibat bencana banjir," katanya di sini pada Ahad.
Beliau berkata, seramai dua pegawai dan 25 anggota ATM membantu melancarkan proses tersebut dengan dibantu lain-lain agensi.
"Operasi memindahkan pelajar sekolah menggunakan aset perairan dan kenderaan milik ATM serta agensi berkaitan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!