Beras putih import: ‘Kalau naik harga, cepat betul pembekal naikkan’ - Ameer Ali
SHAH ALAM - Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin menggesa pembekal segera mengeluarkan senarai harga baharu beras putih import (BPI) susulan pengumuman penurunan harga barangan tersebut.
Menurutnya, setakat ini pihaknya masih menunggu senarai harga daripada pembekal meskipun mereka telah sedia maklum mengenai perkara berkenaan.
“Kalau naik harga, cepat betul mereka (pembekal) naikkan harga. Jadi sekarang sudah turun harga, kita harap mereka boleh cepatkan (proses) dan hantar barang sekarang.
“Pembekal belum menurunkan harga lagi. Kita minta pembekal (hantar senarai harga baharu) sebab kementerian telah membuat pengumuman dan ia akan berkuat kuasa pada hari ini (1 Disember),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada Mac lalu mengumumkan penurunan harga BPI di pintu gudangnya di Semenanjung daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik.
Penurunan itu menyaksikan berlaku penurunan harga jualan BPI antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10kg di peringkat runcit.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Jumaat mengumumkan harga (BPI) di pintu gudang Bernas di Semenanjung diturunkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa pada Ahad.
Ujar beliau, ia selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Sehubungan itu, Ameer berharap kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat memberi tekanan kepada pembekal supaya segera menurunkan harga BPI.
“Pembekal ini kalau boleh mereka akan melambat-lambatkan (penurunan harga).
“Sebab mereka akan beri alasan sama iaitu ada banyak stok bekalan, harga kos yang mahal. Itu alasan biasa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!