Sentiasa kemas kini data ramalan cuaca, banjir - Sultan Pahang
RAUB - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan pihak berkuasa terlibat diingatkan supaya sentiasa mengemas kini data berkaitan ramalan cuaca dan kejadian banjir yang berlaku di negara ini dengan lebih kerap.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia untuk memastikan penduduk di kawasan yang sering terlibat dengan banjir peka dengan situasi semasa.
"Saya ingin mengingatkan berdasarkan pada laporan kaji cuaca kita dijangka akan menghadapi cuaca tidak menentu pertengahan dan hujung bulan ini (Disember).
"Ini bermakna air pasang laut akan meningkat dan kalau hujan diramal lebih lebat bermakna limpahan air dari sungai akan berlaku dan kampung di tepi sungai akan terkena banjir.
"Jadi kita minta data yang tepat dan pihak meteorologi atau pihak berkuasa perlu mengumumkan secara official (rasmi) kerap sikit. Harap juga semua rakyat dengar laporan yang sah," titahnya.
Baginda bertitah sedemikian ketika ditemui pemberita selepas berangkat bercemar duli menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Lechar di sini, pada Ahad yang menempatkan 111 orang.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Titah baginda, penduduk yang tinggal di kawasan rendah juga harus bersiap sedia menghadapi cuaca yang tidak menentu.
"Ahli keluarga khususnya ibu bapa perlu mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka bermain di tepi sungai atau di longkang kecil mahupun besar.
"Apabila dapat arahan daripada pegawai atau pasukan keselamatan untuk berpindah harap dapat berpindah secepat mungkin, selamatkan diri dan keluarga dahulu," titahnya.
Titah Al-Sultan Abdullah, perkara tersebut perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang tragedi membabitkan nyawa.
Dalam pada itu, baginda turut mendoakan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya yang menjadi mangsa banjir dapat menghadapi peperiksaan dengan sebaiknya.
"Saya berdoa calon-calon SPM akan menghadapi ujian peperiksaan esok agar mereka semua berjaya dan dapat memperoleh keputusan yang cemerlang," titahnya.
Berdasarkan portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 6.34 petang, Raub mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Pahang iaitu 1,087 orang manakala di Jerantut (92) dan Lipis(33) ditempatkan di 26 PPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!