500 anggota polis, ahli keluarga terjejas banjir
TUMPAT - Lebih 500 anggota dan ahli keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas akibat banjir gelombang pertama di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka terlibat dari daerah Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat.
“Kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bersama keluarga masing-masing.
“Walau bagaimanapun penugasan banjir tidak terjejas dan anggota yang terlibat dengan usaha menyelamatkan mangsa banjir tetap meneruskan penugasan menyelamat dari PPS,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPS Surau Ar-Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat yang menempatkan 195 mangsa dari 63 keluarga kalangan PDRM dari Taman Sri Bayu.
Mohd Yusoff menambah, keadaan cuaca cerah di Kelantan pada Ahad, bagaimanapun mangsa yang dipindahkan ke PPS di seluruh negeri ini tetap meningkat.
“Semalam, sejumlah 80,163 mangsa dipindahkan ke 279 PPS dan hari ini angka meningkat kepada 90,225 mangsa di 259 PPS.
“Keadaan banjir ini berbeza dengan tahun 2014 kerana melibatkan limpahan Sungai Kelantan tetapi kali ini membabitkan Sungai Golok mengalir laju ke Pasir Mas dan Tumpat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!