Tutup lampu, nombor pendaftaran bot elak dikesan pihak berkuasa

Bot pukat tunda ini didapati mematikan lampu ketika dikesan Jabatan Perikanan Selangor di sekitar perairan Jeram di sini menerusi operasi dijalankan pada Sabtu.
Bot pukat tunda ini didapati mematikan lampu ketika dikesan Jabatan Perikanan Selangor di sekitar perairan Jeram di sini menerusi operasi dijalankan pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menutup lampu dan nombor pendaftaran menggunakan kanvas ketika menangkap ikan antara taktik digunakan nelayan bot pukat tunda yang dikesan Jabatan Perikanan Selangor di sekitar perairan Jeram di sini menerusi operasi dijalankan pada Sabtu.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot pukat tunda yang dikendalikan individu tempatan itu kemudiannya cuba melarikan diri namun akhirnya berjaya dikesan di sebuah jeti persendirian di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi dijalankan pihaknya bersama Pasukan Polis Marin kira-kira jam 8.55 malam mengesan sebuah bot pukat tunda didapati dalam keadaan mencurigakan selain lampu ditutup.

"Pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan selain menutup nombor pendaftaran dengan menggunakan kanvas.

"Anggota DOF bersama polis marin kemudian mengarahkan bot berkenaan berhenti untuk pemeriksaan, namun beberapa nelayan yang menaiki bot itu bertindak membuang pukat tunda dalam laut sebelum melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, susulan itu usaha mengesan bot pukat tunda itu dijalankan sebelum menemukan bot terbabit di sebuah jeti persendirian di Pulau Ketam pada Sabtu.

"Bot terbabit kemudiannya diperiksa dan dipercayai merupakan bot pukat tunda yang melarikan diri ketika dikejar ketika operasi dijalankan sebelum ini.

"Pemeriksaan turut dijalankan melibatkan empat lelaki warga tempatan dipercayai mengendalikan bot berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bot pukat tunda itu bersama empat individu ditahan dibawa ke Limbungan Jabatan Perikanan di Pelabuhan Klang untuk siasatan untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985.

"Tindakan mematikan lampu dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda dalam gelap tanpa sebarang tanda pelayaran membahayakan nelayan lain," katanya.

Tegasnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana nelayan yang berdegil menceroboh zon tangkapan ikan ditetapkan.

"Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi jarak zon yang telah ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!