Pertama kali Arena Kepayang Putra dilanda banjir
IPOH - Hujan lebat berterusan sejak malam Sabtu menyebabkan ratusan rumah penduduk di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini pada Ahad dinaiki air kira-kira 1.5 meter.
Kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu disifatkan penduduk sebagai luar jangka apabila pertama kali berhadapan banjir dalam tempoh 28 tahun mendiami perumahan terbabit.
Ahli perniagaan, Datuk Amaluddin Mohd Ismail berkata, empat kenderaan mewah miliknya ditenggelami air menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.
"Lapan kenderaan antaranya Porche, Volvo, Toyota Vellfire dan BMW yang parkir di garaj tidak sempat dibawa keluar kerana air naik terlalu cepat.
"Selama 28 tahun tinggal di kawasan ini, kita tidak jangka ia naik setinggi ini. Kebiasaannya banjir hanya setakat jalan dan akan surut tidak lama kemudiannya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Penduduk, Chong Yet Yong, 71, berkata, ketika kejadian dia berada di gereja sejak pagi dan hanya suaminya tinggal sendirian di rumah berkenaan.
"Dalam tengah hari tadi, suami telefon beritahu air mula masuk rumah dengan segala kelengkapan rumah seperti peti ais dan mesin basuh terbalik.
"Setibanya kawasan rumah ini, pihak berkuasa tidak membenarkan masuk kerana air mula naik. Saya minta suami selamatkan ubat-ubatan kerana ada tiroid dan darah tinggi selain sakit tulang.
"Saya hanya tunggu pihak penyelamat dapat bawa keluar suami saya yang masih terperangkap dan kami akan tinggal di saudara sementara tunggu air surut," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kerja-kerja menyelamat dengan membawa keluar mangsa sedang dijalankan.
Menurut beliau, seramai 114 penduduk berjaya dibawa keluar setakat jam 5.30 petang.
"Kebanyakan penduduk di sini adalah dalam kalangan warga emas yang tinggal sendirian yang keberatan hendak keluar berikutan tidak peka keadaan semasa.
"Bagaimanapun, kita menjalankan kerja-kerja 'sweeping' di setiap lorong perumahan memastikan tiada mangsa yang tertinggal," katanya.
Tambah Sayani, penduduk diminta beri kerjasama agar kerja-kerja menyelamat dapat berjalan lancar.
"Hujan berterusan jangka naik di beberapa tempat termasuk di Batu Gajah. Paras air Sungai Kinta juga meningkat.
"Kita lihat trend air mula sedikit turun tetapi memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu kita minta penghuni kawasan perumahan ini kemaskan dokumen penting dan pergi ke tempat selamat," katanya.
Jelasnya, operasi dibantu pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Simpang Pulai, Meru Raya serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru dan Menglembu menggunakan tujuh bot termasuk milik Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta jawatankuasa Kampung Datuk Ahmad Said.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!