Karya Bestari lancar buku Bounce Back Better, bangkit dengan al-Quran

Danial (dua dari kanan) melancarkan buku Bounce Back Better: Bangkit Dengan al-Quran sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia City pada Ahad. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Danial (dua dari kanan) melancarkan buku Bounce Back Better: Bangkit Dengan al-Quran sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia City pada Ahad. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SETIA ALAM - Karya Bestari, Karangkraf melancarkan sebuah buku inspirasi baharu berjudul Bounce Back Better yang diilhamkan empat penulis mendedahkan kebangkitan daripada ujian hidup berdasarkan al-Quran.

Salah seorang penulisnya yang juga Perunding Psikologi, Dr Alizi Alias berkata, ramai yang masih belum sedar dalam al-Quran dan hadis mempunyai banyak panduan tentang penjagaan kesihatan mental terutamanya ketika dilanda masalah dan emosi terganggu.

"Kita tidak mahu orang memandang serong kepada Islam terutama isu halal, haram, syurga dan neraka, buku ini mengandungi banyak panduan yang menyentuh emosi serta hati manusia.

"Bounce Back Better menghimpunkan panduan dan menyingkap bagaimana kisah al-Quran dan hadis mendidik kita untuk memaknai ujian sebagai peluang membina iman," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Buku Bounce Back Better: Bangkit dengan al-Quran di Pusat Konvensyen Setia Alam sempena Festival Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 di sini pada Ahad.

Pelancaran berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Shah Alam, Selangor, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid dan Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf (GBK), Izzat Izhar Muhammad Nasir.

Dalam pada itu, penulis yang juga Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Dr Rozanizam Zakaria pula berkata, satu daripada tiga orang di negara ini terlibat isu berkaitan mental seperti stres, 'burn out', kemurungan ringan, kebimbangan dan sebagainya.

Dari kiri, Izzat, Rozanizam, Danial, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang, Alizi dan Hajar ketika Majlis Pelancaran buku Bounce Back Better: Bangkit Dengan al-Quran sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia City pada Ahad. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Dari kiri, Izzat, Rozanizam, Danial, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang, Alizi dan Hajar ketika Majlis Pelancaran buku Bounce Back Better: Bangkit Dengan al-Quran sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia City pada Ahad. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, untuk kanak-kanak pula, satu daripada enam orang golongan itu mempunyai masalah mental.

"Ramai bukan sedikit, kita kena faham, kanak-kanak bukan hanya mengalami kemurungan, kecemasan dan sebagainya. Bukan hanya penyakit mental semata-mata malah isu kesihatan itu lebih luas melibatkan proses perkembangan sosial, emosi dan pembelajaran serta sebagainya.

"Menurut laporan juga, didapati satu daripada 10 remaja berkeinginan untuk mencederakan diri. 50 peratus daripada dewasa yang menghadapi isu kesihatan mental bermula seawal usia 14 tahun. 75 peratus pula bermula seawal usia 15 tahun. Isu ini terjadi di rumah, sekolah atau kedua-duanya. Elemen yang penting selain rawatan bagi pencegahan isu ini ialah perhubungan sosial keluarga. Belajarlah dari al-Quran, panduannya ada dalam Bounce Back Better," katanya.

Sementara itu, penulis Hajar Hidayati pula berkata, saat hidup dirundung ujian berat, seolah-olah tiada daya untuk bangkit semula, manusia perlu mencari kekuatan dan ketenangan yang nyata.

Jelasnya, al-Quran, penawar yang menenangkan hati Rasulullah SAW, menyimpan rahsia keteguhan dan mengajarkan kita untuk kembali berdiri, penuh harapan dan keyakinan.

"Di bawah cahaya wahyu, temuilah inspirasi yang abadi, bangkitlah lebih kuat dengan tekad dan harapan sejati. 'It is okay to fall, as long as you bounce back, better not bitter',” ujarnya.

Orang ramai boleh mendapatkan buku Bounce Back Better: Bangkit dengan al-Quran di reruai Karangkraf sepanjang SIBF 2024 ini dan di semua platform pembelian Karangkraf Mall termasuk laman sesawang, Shopee, Lazada dan TikTok serta kedai buku berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!