Luruan monsun bergerak ke selatan

Beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak akan mengalami cuaca buruk kesan daripada pergerakan luruan monsun sepanjang musim MTL. Gambar kecil: Azizan.
Beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak akan mengalami cuaca buruk kesan daripada pergerakan luruan monsun sepanjang musim MTL. Gambar kecil: Azizan.
A
A
A

SHAH ALAM - Luruan monsun yang berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) sehingga Mac depan akan bergerak ke arah selatan dari masa ke masa.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, ini akan mengakibatkan beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak mengalami cuaca buruk kesan daripada pergerakan tersebut.

Menurutnya, luruan ini akan bertumpu ke jurang monsun yang pada ketika ini berada di pesisir berdekatan Kelantan.

“Terdapat tujuh luruan monsun sepanjang musim Monsun Timur Laut. Jurang monsun ini akan bergerak ke selatan dari masa ke masa.

“Apabila tiba bulan Januari hingga Mac, hujan berterusan lebih terkesan kepada kawasan Borneo dan juga pulau-pulau berdekatan Jawa hingga ke Lombok, bukan lagi di Pantai Timur,” katanya kepada Sinar Harian.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Muka depan Sinar Harian pada Isnin.

Azizan berkata, namun sehingga awal Januari, Pantai Timur dan Selatan Thailand masih berisiko mengalami banjir.

Artikel Berkaitan:

“Januari hingga Februari pula, Sabah dan Sarawak mungkin berisiko banjir kesan daripada luruan monsun termasuk oleh satu lagi kesan daripada sistem pusaran angin tekanan rendah dikenali sebagai Borneo vortex.

“Ia lebih memberi impak kepada kawasan Sabah dan Sarawak,” jelas beliau lagi.Sebelum ini, Azizan memaklumkan, kemungkinan situasi banjir di Pantai Timur akan bertambah buruk bergantung kepada pusat curahan maksimum di pesisir dan juga air pasang besar.

Buat masa ini hujan lebat berlaku di pesisiran dan bukan ketika air pasang besar yang dijangka berlaku sehingga Isnin.

Bagaimanapun katanya, ramalan hujan lebat yang berlaku lebih ke kawasan pedalaman.

Monsun Timur Laut berlaku setiap tahun dari November hingga Mac, membawa cuaca hujan lebat di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Timur Johor, Barat Sarawak dan Pantai Timur Sabah.

Fenomena ini terjadi akibat sistem cuaca monsun yang bergabung dengan luruan udara sejuk dari China, menghasilkan hujan lebat dan ribut di wilayah-wilayah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!