Kezaliman Jeneral Aung Hlaing bawa padah
Ketua junta Myanmar bakal senasib Netanyahu kerana lakukan kekejaman ke atas etnik Rohingya
YANGON - Ketua junta Myanmar didakwa pada 27 November lalu atas jenayah kemanusiaan oleh pendakwa tertinggi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memberi tamparan baharu kepada negara yang masih dilanda konflik itu.
Pendakwaan itu dibuat beberapa hari selepas tribunal sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant yang didakwa melakukan jenayah perang terhadap penduduk Palestin.
Di bawah kes terbaharu ini, Pendakwa raya ICC, Karim Khan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Jeneral Kanan dan pemangku Presiden, Min Aung Hlaing yang mengetuai pasukan tentera untuk melancarkan serangan maut terhadap etnik Muslim Rohingya di Myanmar pada tahun 2017.
Semasa keganasan itu, komuniti Rohingya dibunuh, wanita diperkosa beramai-ramai selain rumah mereka dibakar.
Akibat kekejaman itu, lebih sejuta etnik Rohingya terpaksa melarikan diri ke negara jiran dan sehingga kini mendiami di kem sesak di daerah Cox's Bazar, sempadan Bangladesh.
Menurut Khan, waran tangkap bakal dikeluarkan terhadap lebih ramai pegawai tertinggi Myanmar yang bersekongkol dalam tindakan keganasan tersebut. Bukti kekejaman
Jeneral Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan awam sehingga menjerumuskan Myanmar dalam keganasan terburuk di negara itu.
Beliau membuat keputusan sendiri tentang pelantikan perdana menteri dan memilih pegawai pangkat tinggi tentera bagi membantunya untuk mentadbir negara.
Sejak itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 5,000 orang awam terbunuh manakala lebih tiga juta penduduk hilang tempat tinggal.
Akibat konflik tiada kesudahan itu, lebih separuh daripada penduduk Myanmar kini hidup dalam kemiskinan.
Rejim kuku besi itu dikatakan bertindak ganas terhadap pembangkang politik, memenjarakan penunjuk perasaan prodemokrasi dan mengancam hukuman tegas ke atas orang awam yang enggan menyertai tentera.
Antara mereka yang dipenjarakan junta ialah bekas Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi yang sebelum ini berjuang menuntut demokrasi di Yangon.
Tindakan memenjarakan penerima Hadiah Nobel Keamanan berusia 79 tahun itu turut dikecam PBB kerana didakwa bermotifkan politik.
Sejak kudeta kira-kira tiga tahun lalu, lebih 27,700 individu telah dipenjarakan dan lebih 21,000 masih ditahan.
Menurut data Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, lebih 260 tahanan juga diseksa hingga mati dan mereka percaya angka sebenar jauh lebih tinggi.
Sejarah berdarah
Sebelum memimpin rampasan kuasa, Aung Hlaing adalah seorang pegawai tentera yang digeruni selepas serangan berdarah ke atas kumpulan etnik.
Beliau merupakan lulusan dari Akademi Perkhidmatan Pertahanan negara pada 1977 dan mempunyai reputasi buruk sejak dari awal iaitu membuli pelajar lain.
Beliau kemudiannya memulakan kerjaya awal dalam bidang ketenteraan sebagai pegawai infantri.
Bermula 2011, beliau menjadi ketua komander Myanmar dan jawatan itu dikatakan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa awam termasuk Presiden.
Pada 2019, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan perjalanan ke atas Aung Hlaing dan pegawai lain atas alasan mereka terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia seperti pembunuhan etnik Rohingya dan orang awam yang semakin berleluasa.
“Kami bimbang jika junta Myanmar tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pencabulan hak asasi manusia di seluruh negara,” kata bekas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!