Nombor telefon disalah guna tawar pakej pelaburan, perjudian
GOMBAK - Seorang kakitangan awam panik apabila nombor telefon peribadi secara tiba-tiba membentuk grup WhatsApp yang menawarkan pakej pelaburan dan perjudian tidak diketahui.
Kejadian itu berlaku kira- kira tiga bulan lalu, apabila telefonnya digodam dipercayai dilakukan scammer untuk memperdaya mangsa melalui iklan menggunakan bahasa Mandarin.
Mangsa, Khairul Shahrizal Ismail, 44, berkata, kesemua nombor telefon yang terdapat dalam senarai kenalan dimasukkan ke dalam grup tersebut satu persatu.
“Saya bernasib baik kerana kejadian disedari awal, saya bertindak menghubungi beberapa kenalan yang dimasukkan ke dalam grup tersebut untuk memaklumkan nombor telefon saya telah disalah guna.
“Tindakan pantas berjaya mengelak individu lain menjadi mangsa dan tiada yang mengalami kerugian,” katanya.
Dia kemudian bertindak ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan namun masalah sistem tergendala menyebabkan laporan tersebut tidak dapat dilakukan.
Bapa kepada empat anak itu kemudian membuat aduan kepada aplikasi WhatsApp bagi memastikan grup itu ditutup sepenuhnya.
“Saya risau ada yang menjadi mangsa, pada masa sama risau jika data peribadi termasuk sistem perbankan atas talian turut digodam dan disalah guna.
“Ketika mahu membuat laporan polis, pegawai penyiasat menyarankan aduan dibuat ke SKMM memandangkan tidak melibatkan kehilangan duit atau nyawa,” katanya.
Khairul Shahrizal memaklumkan tidak pasti bagaimana nombor telefon boleh disalah guna namun tidak menolak kemungkinan tertekan pautan pop-up secara tidak sedar ketika melayari media sosial.
Susulan kejadian itu katanya, dia lebih peka dengan modus operandi scammer dan lebih berhati-hati untuk menekan klik pautan meragukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!