Hello... kenapa line teruk sangat?
RUNGUTAN demi rungutan pengguna yang tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan telekomunikasi di negara ini. Ramai yang membandingkan negara jiran kita, Thailand jauh lebih baik dan murah daripada Malaysia.
Kerajaan juga sering menjanjikan mutu perkhidmatan yang baik dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak, tidak kira bandar atau luar bandar.
Namun, sampai bila kita hendak tunggu perkhidmatan telekomunikasi dan data yang berkualiti tinggi? Sedangkan dunia sedang laju berputar dengan kehebatan teknologi terkini dan sudah mula memperkatakan tentang 5.5G serta 6G, tetapi malang kita masih lagi bergelut hendak menyediakan kemudahan rangkaian 5G.
Ini cukup memalukan kita semua, apatah lagi banyak syarikat berteknologi tinggi yang ingin melabur ke negara ini seperti NVIDIA Corporation, Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle.
Jadi kita terkejut apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat mengatakan ada syarikat-syarikat telekomunikasi besar yang gagal untuk menyiapkan menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela). Ini menunjukkan syarikat-syarikat telekomunikasi ini tidak serius untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan membantu negara serta rakyat mendapat liputan terbaik.
Kesimpulannya, kita sudah tidak boleh lagi membiarkan duit rakyat terus dibazirkan begitu sahaja tanpa pulangan yang memberi manfaat kembali kepada negara.
Difahamkan, hari ini pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang pertama kali dicadangkan sejak ia dikuatkuasakan 26 tahun lepas, akan dibentangkan di Parlimen.
Akta ini khabarnya bukan sahaja mahu melindungi kepentingan pengguna di negara ini, malah akan memastikan industri telekomunikasi mencapai tahap perkhidmatan yang terbaik.
Dalam masa sama, Akta 588 juga akan memberikan tumpuan kepada usaha memastikan dunia internet di Malaysia selamat kepada semua rakyat dengan keperluan untuk mengatasi masalah jenayah dalam talian yang semakin membimbangkan.
Sehubungan itu, kita berharap agar ahli-ahli Parlimen yang akan bersidang dapat memastikan pindaan yang dibentangkan itu dapat ditambah baik demi untuk kepentingan masa depan negara.
Selain memastikan perkhidmatan bermutu tinggi, kita juga mengharapkan dunia internet juga selamat daripada sebarang anasir-anasir yang jahat dan membahayakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!