Young Tigers jumpa India separuh akhir
SKUAD hoki remaja negara melangkah ke separuh akhir Piala Remaja Asia 2024 biarpun dibelasah Pakistan, 1-4 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Hoki Oman di Muscat, Oman pada Ahad.
Bagaimanapun kemaraan Young Tigers asuhan I Vikneswaran itu dibantu kegagalan pesaing terdekat Bangladesh, yang mengikat skuad negara 2-2 sebelum itu, apabila hanya mampu melakar keputusan seri 1-1 menentang China.
Perlawanan itu menyaksikan The Young Green Machines terlebih dulu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Sufyan Khan seawal minit ketiga permainan.
Young Tigers kemudian kembali berusaha bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari pada minit ke-12.
Skuad kendalian Qamar Ibrahim kemudian meningkatkan intensiti permainan menyaksikan Sufyan menambah satu lagi gol juga hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-35.
Gol itu ternyata meningkatkan motivasi pemain-pemain Pakistan apabila menambah dua lagi jaringan menerusi gol padang Abdul Qayum minit ke-51.
Sufyan sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila melengkapkan hatrik dengan menyempurnakan penalti stroke minit ke-58 sekali gus gol kesembilan sepanjang kempen.
Keputusan itu menyaksikan Young Tigers mengakhiri kempen Kumpulan B dengan status naib juara akan berdepan juara Kumpulan A, India dalam perlawanan separuh akhir pada Selasa.
Satu lagi separuh akhir, Pakistan akan berdepan Korea Selatan yang merupakan naib juara Kumpulan A.
Sebagai rekod, sasaran Young Tigers dalam edisi ke-10 ini menamatkan kempen peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas untuk mara ke separuh akhir.
Slot separuh akhir juga turut menawarkan tiket automatik ke temasya Piala Dunia Remaja 2025.
KEPUTUSAN
Piala Remaja Asia 2024
Kumpulan B
Malaysia 5–2 China
Malaysia 9–1 Oman
Bangladesh 2–2 Malaysia
Malaysia 1–4 Pakistan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!